ALOR SETAR – Seramai 14 individu yang tinggal di deretan
rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki mengidap penyakit
chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk
dan ruam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan
Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Setar yang tidak
menerima sebarang maklumat berkaitan kes tersebut telah menjalankan
siasatan segera selepas kes itu tular di media sosial semalam.
“Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9
Jun lepas di mana kebanyakan mereka telah mendapatkan rawatan pesakit
luar di klinik swasta sekitar Alor Setar namun keadaan mereka dilaporkan
stabil.
“Berdasarkan tanda dan gejala yang dikesan telah mengesyaki
mereka yang berumur antara 35 hingga 50 tahun itu berkemungkinan
menghidap penyakit chikungunya, namun tidak menolak kemungkinan ia
berpunca dari penyakit lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Norhizan berkata, siasatan lanjut masih sedang
dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal
Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor.
“Buat masa ini, PKD sedang menjalankan tindakan pencegahan
dan kawalan termasuk membuat pengesanan kes secara aktif (ACD) di
sekitar kawasan berkenaan.
“Sekiranya orang ramai terutamanya penduduk di kawasan
Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza mempunyai gejala demam dan sakit
sendi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan
yang berdekatan,” katanya.
Beliau berkata maklumat lanjut mengenai kes itu akan
dihebahkan dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan mengelak
membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
“Kita juga menggesa semua pihak terutama masyarakat
setempat mengambil tindakan pencegahan untuk menghapuskan tempat
pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah jangkitan chikungunya, denggi dan
zika,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan