Timbalan presiden Umno itu berkata, permintaan itu menunjukkan “Akmal tidak peka dengan keadaan semasa”.
“Ini kerana, sekalipun dana yang diterima Umno itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk Umno pulangkan sedangkan dana Umno sudah dibekukan kerajaan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pemuda PKR itu sebelum ini menggesa Mohamad “bergerak melepasi Najib dan 1MDB” serta memulangkan wang itu “jika beliau masih mempunyai sedikit maruah”.
Katanya, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat perlu menunjukkan teladan baik atau berisiko berada di bawah bayangan bekas perdana menteri itu.
Mohamad berkata, permohonan pelucuthakan sivil yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia baru-baru ini ke atas 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dipindahkan dari akaun Najib ialah proses undang-undang.
“Komitmen terbaik Umno adalah untuk menghormati proses tersebut, tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Amat pelik jika seorang ahli Parlimen menggesa saya untuk memintas proses undang-undang hanya kerana mahu menurut permintaan beliau yang tidak berasas.
“Adakah saudara Akmal sebenarnya tidak yakin SPRM boleh membuktikan kes mereka dan beliau tidak mempercayai kebolehan mahkamah dalam membicarakan kes ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Putrajaya membekukan akaun bank Umno di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 pada Jun 2018.
Mac lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, akaun itu akan terus dibekukan ketika siasatan ke atas skandal 1MDB dijalankan.
Mohamad turut menggesa Akmal tidak bercakap tanpa pengetahuan asas mengenai undang-undang dan fakta.
“Sekalipun ingin muncul relevan dan berpemikiran, saya harap saudara Akmal boleh memberikan cadangan yang kalaupun tidak bernas, sekurang-kurangnya biarlah rasional dan praktikal.”
Adun Rantau itu turut menyindir pergeseran antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Azmin Ali.
“Jangan salah faham, saya bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun. Umno tidak bermain geng-geng dalaman.
“Fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan Umno dan mengukuhkannya secara keseluruhan. Ini bukan perlumbaan seperti mana pergeseran Azmin vs Anwar,” katanya yang mungkin merujuk spekulasi kedua-dua pemimpin itu menjadi pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, permohonan pelucuthakan itu diambil mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 untuk mendapatkan semula RM270 juta dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib dan kemudian kepada 41 individu serta entiti.
Penerima terbesar wang itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.
Parti politik lain termasuk Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), MCA Pahang, Wanita MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Katanya, selepas afidavit permohonan itu dikeluarkan mahkamah, ia akan diberikan kepada 41 penerima dana 1MDB itu dan mereka tidak akan didakwa jika bertindak memulangkan wang itu secara sukarela.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan