Berikutan pengklasifikasian semula siasatan
polis terhadap kematian Teoh Beng Hock, adik mendiang berkongsi
kekesalannya dan mengenang mendiang bekas pengerusi DAP Karpal Singh
yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2014.
“Jika kamu masih hidup, (keadaan) ini … akan jadi berbeza. Saya rindu kamu, Encik Karpal Singh. Kamu selalu berada dalam ingatan saya,” kongsinya di Facebook malam tadi.
Dia turut memuat naik gambarnya bersama Karpal.
Sebelum kematiannya, Karpal yang merupakan seorang peguam bertindak mewakili keluarga Beng Hock.
Kini, peranan itu diambil alih oleh anak Karpal, Ramkarpal Singh.
Teoh ditemui mati selepas jatuh dari tingkap sembilan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 16 Jul 2009.
Sebelum itu dia ditahan semalaman di situ untuk disoal siasat.
Polis kini menyiasat kematiannya mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan mengurung seseorang secara salah dan bukan bagi kesalahan membunuh.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata polis hanya mengikut arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga menyerahkan perkara tersebut kepada AGC.
Dalam hantaran berasingan, Lee Lan berkata sekiranya polis membuat kenyataan seperti itu semasa era BN, maka ahli politik pembangkang pada ketika itu pasti bangkit menentang.
Bagaimanapun, dia meluahkan rasa kesalnya apabila ahli-ahli politik yang dahulunya begitu lantang kini hanya berdiam diri dalam era Malaysia Baru.
Tambahnya lagi, kerajaan tidak sepatutnya menggunakan alasan kes sivil untuk tidak terus menyiasat unsur-unsur jenayah dalam kematian abangnya.
Semalam, Muyiddin berkata semua proses perundangan sudah pun dipatuhi untuk kes tersebut, termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pembayaran pampasan kepada keluarga Teoh.
Mengulas kenyataan Muhyiddin itu, Lee Lan mendakwa kabinet tidak berjaya mengotakan janji mereka tahun lepas untuk menyiasat kematian abangnya yang juga merupakan pembantu politik kepada seorang Adun DAP itu.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang atau atau lebih individu tidak dikenali - termasuk kakitangan SPRM - terlibat dalam kematian Teoh.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung hal ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan