HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Jun 2019

Rokok jadi penapis air

Dziyaul Afnan Abdul Rahman
 
 

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghasilkan empat produk kegunaan harian di rumah daripada rokok yang dirampas kastam.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, inisiatif itu secara tidak langsung menjimatkan kos.

Katanya, antara produk yang dihasilkan adalah alatan penapisan air paip, baja tanaman, racun serangga dan bahan kegunaan dalaman bagi tapisan air paip.

“Seperti yang kita tahu, setiap tahun banyak rampasan daripada pihak kastam berupa rokok tidak bercukai dan dibuang begitu sahaja, jadi melalui kerjasama ini secara tidak langsung dapat memanfaatkan barangan terbabit daripada ia dibakar.

“Siapa sangka alatan penapis air paip yang kita sangka harganya mahal boleh dijimatkan melalui penghasilan penapis daripada bahan tidak terpakai.

“Begitu juga dengan racun serangga, kita semua sedia maklum bahawa anai-anai dilihat kebal tetapi siapa sangka dengan produk berasaskan tembakau rokok, ia mampu mengekang serangga itu daripada merosakkan kayuan,” katanya ketika ditemui pada majlis Khidmat Bakti Masyarakat di Felcra Lubuk Sireh di Padang Besar, hari ini.

Terdahulu, pada majlis berkenaan R Badlishah mewakili UniMAP bersama Pengarah Kastam Perlis, Wan Nor Wan Mamat turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penghasilan Kitaran Rokok Kastam (ROKAS-Cycle) antara Kastam dan UniMAP.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kastam, Datuk Azimah Abd Hamid.

Mengulas lanjut, R Badlishah berkata, pihaknya kini berharap agar kerajaan boleh mengusahakan kesemua produk berkenaan dan dikomersialkan ke seluruh negara.

“Setakat ini produk penapisan air paip sudah dihakciptakan dan baki produk yang lain kini di peringkat pelengkapan kertas kerjanya.

“Jadi kita harap dengan penghasilan produk sebegini dapat membantu masyarakat menikmati barangan berkualiti tetapi berkos rendah,” katanya.

Tiada ulasan: