Ketua Pemuda PKR (AMK), Akmal Nasir menyifatkan pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan memilih pendekatan selamat dan tidak konsisten dalam isu dana 1MDB yang dikaitkan dengan parti itu.
Bagaimanapun Akmal menyambut baik kenyataan balas bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berhubung saranan agar Umno memulangkan semula dana berkenaan.
"Namun hujah beliau tidak konsisten. Sebelum ini alasannya adalah wang yang diterima sekiranya benar dari 1MDB telah pun dibelanjakan dan yang tinggal sekarang wang yang ‘bersih’.
"Sekarang, alasannya dana Umno telah dibekukan maka tidak boleh dipulangkan balik," kata Akmal dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mohamad mempertikaikan kewajaran Akmal yang juga anggota parlimen Johor Bahru meminta beliau memulangkan semula dana yang dikatakan diterima daripada 1MDB.
Kenyataan Akmal itu berikutan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucutan hak terhadap 41 penerima bagi memperoleh semula RM270 juta wang berkaitan 1MDB.
Menurut SPRM sebahagian besar wang berkenaan yang berjumlah RM230 juta disalurkan ke akaun-akaun Umno melalui akuan peribadi bekas presidennya, Najib Razak.
Mohamad berkata permintaan Akmal itu bukan
sahaja tidak berasas tetapi menunjukkan ketua AMK itu tidak peka dengan
keadaan semasa berikutan dana Umno telah pun dibekukan.
Masih dibayangi Najib
Namun beliau mempersoalkan bagaimana Umno ingin berubah sekiranya kepimpinan Mohamad terus dibayangi Najib Razak.
"Walaupun beliau ada potensi, yang lain-lain belum tentu lagi.
"Mohamad Hasan mungkin ada ketokohan, tetapi pendekatan jalan selamat akan menyebabkan Umno akan kekal sama sahaja.
"Cuma saya mengharapkan kerajaan akan berjaya mendapatkan balik dana 1MDB dan dipulangkan kembali kepada rakyat Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan