HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Jun 2019

'Keadaan Kuala Koh kian pulih, sudah ada main gitar dan menyanyi'


Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan keadaan di Kampung Kuala Koh Gua Musang sudah semakin pulih, selepas kematian 15 Orang Asli suku Bateq sejak Mei lalu.

"Saya diberi laporan melalui Whatsapp bahawa (keadaan) Orang Asli di sana sudah pulih. (Ada yang sudah) bermain gitar dan menyanyi.

"Alhamdulillah, ini menunjukkan mereka balik kepada aktiviti normal," katanya kepada pemberita selepas program perjumpaan bersama kakitangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan kumpulan sasar di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengarahkan kementerian berkaitan untuk menangani masalah yang dihadapi Orang Asli di sana, terutama bekalan air.

“Bukan April atau Julai, tetapi mereka mesti ada air. Ini adalah keperluan asas yang mesti diberikan kepada mereka.

“Orang Asli pun orang Malaysia juga,” katanya yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Pada 23 Jun lalu, 15 jenazah Orang Asli - dipercayai meninggal akibat demam campak - dikebumikan dengan cara Islam selepas Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan status agama mereka.

Sebelum itu, 14 daripada 15 jenazah tersebut terpaksa digali semula untuk dibedah siasat bagi mencari punca kematian.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata bekalan air penduduk di sana perlu ditambah baik walaupun sudah disahkan sebelum ini kematian tersebut bukan berpunca daripada pencemaran air.

“Saya sudah bangkitkan di kabinet bahawa punca air mereka mestilah diperbaiki kerana ada perlombongan.

“Walaupun air sungai tidak cemar namun dari segi visual (kejernihan) tidak seperti dulu jadi kita mahu kerajaan memberi sumber air lebih baik,” katanya ketika ditanya mengenai status terkini laporan sampel air di sana.

Berikutan kematian yang melanda kampung itu, pihak berkuasa mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon merah pada 12 Jun lalu. 


Tiada ulasan: