HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Jun 2019

PKR, jangan korbankan khazanah perjuangan

Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Nor
Mohamad Ezam Nor

Kenyataan penuh Mohamad Ezam Mohd Nor

MUTAKHIR ini banyak sekali soalan saya terima berkisar sosok PKR. Baik berkaitan sosok partinya juga sosok tokoh-tokohnya.

Saya mengambil waktu menjawabnya kerana saya bukan lagi dalam sosok parti itu. Malah lokasi saya juga jauh dari tanah air, dan soalannya juga sulit sekali untuk saya garap dan jawab.

Namun, sebagai salah seorang daripada 20 ahli jawatankuasa penaja parti itu semasa ditubuhkan pada tahun 1999, tidak boleh tidak, saya diasak terus untuk menyatakan pandangan.

Apatah lagi PKR hari ini adalah parti terbesar dalam kerajaan, kita punya tanggungjawab untuk sedikit peduli terhadapnya demi negara.

Kisah penubuhan parti itu bukan kisah biasa. Ianya dibina di saat getir. Saat darah dan air mata mengalir deras kerana liku-likunya amat keras.

Di saat seperti ini, lumrah dan adat di mana sahaja di dunia, yang ramai dan sanggup menggendongnya adalah rakyat biasa dan bawahan. Kelompok elit, pembesar, apalagi si kaya yang rasuah bukan sahaja lari, ada yang menjadi duri.

Makanya PKR adalah parti rakyat. Parti impian dan cita-cita rakyat. Rakyat yang dahagakan keadilan dan memerlukan pembelaan. Parti itu bukan sahaja dekat dengan rakyat. Ianya sebati dengan rakyat. Darah dan dagingnya adalah darah daging rakyat.

PKR juga bukan parti biasa kerana dua asas utama. Pertama, kerana ia berani memecah tembok politik kaum dengan menetapkan asas parti sebagai parti berbilang kaum. Dan hari ini parti berbilang kaum ini menjadi parti terbesar di negara ini.

Walhal di saat awal merdeka lebih 60 tahun lalu, parti membawa gagasan berbilang kaum ditolak bulat-bulat walaupun yang membawanya seorang tokoh ulung negara.

Asas kedua adalah kerana PKR menjadi parti yang paling ke depan melawan rasuah dan kelompok perasuah. Saya masih ingat sepanjang tujuh tahun saya membentangkan ucapan dasar Pemuda Keadilan, garis besar perjuangan kami tidak pernah lari daripada isu rasuah.

Sehingga saya sendiri sempat mewakili Pemuda menjadi penghuni penjara atas nama melawan rasuah. Ianya sebati sehinggakan apabila saya di parti lain, rasuah tetap menjadi inti perjuangan dan atas nama rasuah jugalah saya meninggalkan parti dan kerajaan itu setelah jelas mereka menjadi perasuah tegar yang tidak akan berubah sifatnya.

Pokoknya, PKR melahirkan pejuang anti rasuah di mana jua berada. Tidak banyak parti punya sejarah seperti ini.

Pada hari ini, gagasan politik berbilang kaum dan gagasan membina negara anti rasuah ini bukan sahaja relevan, malah amat kritikal bagi perjalanan sebuah negara ini.

Dan dalam kedua-dua persoalan paling besar ini, PKR punya sejarah yang panjang dan dalam yang tidak ada pada parti lain di negara ini.

Justeru, kalau boleh saya seru kawan-kawan lama saya yang masih di dalam parti itu untuk tidak mengorbankan khazanah perjuangan yang bukan sahaja besar, tetapi amat relevan ini untuk terus diperjuangkan bagi negara ini.

Persaingan politik dan perebutan posisi jangan sekali kali dibiarkan menjadi api dalam sekam yang akan membakar tiang-tiang seri yang menjadi tonggak perjuangannya selama ini.

Tentu ada suara sinis terhadap saya selepas ini. Saya sudah lama berjuang, sudah hadapi terlalu banyak suara sinis, sini dan sana. Sedikitpun tidak mengesankan saya kerana dari awal kita berjuang demi negara.

Kepentingan kita adalah kepentingan negara. Bukan kepentingan suara-suara yang menyalak tanpa satupun sumbangan pada negara.

Saya tidak mungkin kembali ke parti itu. Saya sendiri sudah jauh dari persada negara. Saya hanya mahu perjuangan rakyat yang amat mahal itu tidak menjadi korban politik kotor murahan.

Saya sama sekali bukan menidakkan peranan parti lain. Tetapi dari sudut gagasan politik berbilang kaum dan melawan rasuah, PKR pelopornya, semangat rakyat menyalakan obornya sejak hari pertama kelahirannya, disulam kepetahan hujah para pemidato dan kedalaman para intelektual yang mendokong perjuangannya.

Dan paling penting inilah masalah utama negara hari ini yang tidak boleh tidak mesti dituntaskan oleh pemimpin politik hari ini yakni Isu politik kaum dan masalah harta negara yang hampir ranap akibat kerakusan elit pemerintah yang rasuah.

Makanya, demi negara ini dan demi perjuangan rakyat yang membinanya saya menyeru dan berdoa sahabat-sahabat lama saya di dalam PKR diberi kekuatan mencari yang jernih, membuang yang keruh.

Bangkit melunaskan setiap titis darah dan air mata rakyat yang pernah dan sedang menderita dan mendambakan pembelaan dan keadilan. – MalaysiaGazette

** Mohamad Ezam Mohd Nor adalah bekas AJK Penaja / Pengasas dan Ketua Pemuda Keadilan 1999

Tiada ulasan: