MALAYSIAKINI
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan agar umat Islam bersikap adil meskipun tidak bersetuju dengan pandangan seseorang.
Kenyataan itu dimuat naik Mohd Asri di Facebook dengan mengepilkan laporan media tentang isu ungkapan puisi berkembar bahasa Cina di pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
"Kita mungkin tidak bersetuju dalam hal tertentu dengan seseorang.
"Namun kita wajib bersikap adil. Agama kita melarang kita menjadikan kebencian sebagai punca untuk kita tidak bersikap insaf dan adil," kata Mohd Asri.
"Mereka akan menyangka Islam mengajar sikap bermusuh tanpa sebab dan benci-membenci.
"Kritiklah apa yang patut dikritik. Berikan pujian apa yang patut dipuji. Bersikap adil dalam menilai sesuatu.
"Itu jika kita ingin beragama, bukan mempergunakan agama," katanya.
Lim sebelum ini mempersoalkan pihak yang mempertikaikan dua ungkapan puisi bahasa Cina di pejabatnya.
Ungkapan puisi itu masing-masing bermaksud: "Apabila manusia tidak bersengketa dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan membawa keuntungan" dan "Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”
Lim menjelaskan bahawa ungkapan itu digantung di pejabatnya pada Feb lalu sempena Tahun Baru Cina.
"Ia (ungkapan puisi) itu dipasang pada Tahun Baru Cina.
"Tapi kenapa (cuma) siarkan ungkapan ini dan tak siarkan ayat al-Quran yang juga ada di pejabat saya.
"Kita kena ingat. Satu bilik ada empat dinding. Jangan hanya lihat satu dinding saja. Kita jangan terlibat dengan orang yang tak berakal atau tak masuk akal," kata ahli parlimen Bagan itu.
Setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan sebelum ini turut tampil mempertahankan Lim dan menyifatkan menteri kewangan hanya ingin menghiasi pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan