HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Jun 2019

Peguam bela mohon 40 pertuduhan ke atas Zahid digabungkan


Manzaidi Mohd Amin


MGF27062019_-ZAHID-DIDAKWA-MAHKAMAH-SHAH-ALAM03
Peguam, Kitson Soong bercakap kepada media berhubung kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas pertuduhan menerima suapan berjumlah kira-kira RM42 juta berkaitan Sistem Visa Luar Negara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula 33 pertuduhan yang dibacakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut peguamnya, Kitson Soong, pada hari itu, pihaknya akan meminta mahkamah untuk menggabungkan 33 pertuduhan dengan tujuh pertuduhan yang dibaca di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

“Kami dan pihak pendakwaraya akan membuat satu permohonan untuk 40 kes ini digabungkan memandangkan semuanya isu yang sama.

“Kami juga akan meminta mahkamah ini (Mahkamah Sesyen Shah Alam) menetapkan sama ada semua kes ini dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atau di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, selepas mewakili Presiden UMNO itu yang menghadapi 33 pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Kanun Keseksaan.

Katanya, selepas semua pertuduhan dibacakan dan anakguamnya mengaku tidak bersalah, mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

“Jumlah jamin ini memadai untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Jaminan ini bukanlah sebagai denda atau sebagainya, tetapi untuk pastikan kehadirannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai permohonan penggabungan semua kes itu, Kitson berkata, selepas mendapat keputusan dari mahkamah, kedua-dua pihak iaitu pembelaan dan pendakwaan akan meminta tarikh lain untuk perbicaraan.

“Kami percaya dengan Rule of Law dan proses sistem keadilan jenayah di Malaysia, ia akan membenarkan anak guam kami membentangkan pembelaan sepenuhnya.

“Isu-isu yang akan timbul dalam kes syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. ini melibatkan banyak dokumen dan ramai saksi.

“Antara dokumen yang kami harapkan bagi pihak pendakwaan akan bentangkan di bawah Seksyen 51 (A) adalah dokumen yang mungkin perlu diklasifikasikan sebagai rasmi,” katanya.

Pihaknya berharap, semua keterangan dibekalkan oleh pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bersama buktinya akan terkeluar di mahkamah kelak.

Ditanya sama ada pihaknya turut memohon untuk menggabungkan 47 kes yang terdahulu, beliau menjelaskan, setakat ini tiada permohonan daripada pihaknya.

“Walaupun pada Februari lalu Ahmad Zahid dikenakan 47 pertuduhan, tetapi isunya berlainan kerana ada yang berkenaan dengan yayasan, ada berkaitan dengan Seksyen 16 (a).

“Tiada permohonan dari pihak kami untuk menggabungkan 40 pertuduhan hari ini dengan 47 pertuduhan yang sebelum ini.

“Saya fikir dengan 87 pertuduhan ini, peninglah dia (pendakwaraya),” katanya.

Pada 21 Februari lalu, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan melibatkan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Daripada 47 pertuduhan itu, 12 membabitkan pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: