HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Jun 2019

Parti Negara minta MITI siasat Mimos

Manzaidi Mohd Amin
 
partinegaramimos-1


PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diminta menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penyelewengan peruntukan kerajaan kepada Mimos Berhad (Mimos) yang didakwa berlaku pada zaman kerajaan terdahulu.

Sekretariat Penaja Parti Negara (Negara) mahu kementerian itu turut mengambil langkah segera menangani isu terbabit yang jika dibiarkan, bakal memudaratkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut setiausaha agung penaja parti itu, Abdul Ghani Haroon, siasatan itu membabitkan perbelanjaan peruntukan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10 dan RMK-11).

Katanya, kementerian wajar memanggil semua ketua projek terbabit untuk disoal siasat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita minta kerajaan menggantung sementara semua pegawai pengurusan tertinggi sedia ada dan Ahli Lembaga Pengarah supaya tidak mengganggu proses siasatan oleh badan berwajib.

“JAN juga harus mendedahkan segala penemuan hasil siasatan awal yang telah diadakan pada awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Naib Presiden Parti Negara, S. Gobi Krishnan menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Kanan MITI, Zamri Maulan di pejabat kementerian itu di sini.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya turut menggesa kementerian itu melakukan siasatan terhadap empat pegawai tertinggi Mimos yang telah dipecat pada April lalu bagi memastikan tiada unsur penganiayaian kepada mereka yang tidak bersalah.

Kata beliau, siasatan terperinci juga perlu dijalankan terhadap projek Mimos termasuk kontrak kepada semua kontraktor dan pembekal syarikat itu sama ada harga diberikan munasabah dan melibatkan apa juga unsur ketidaktelusan serta pilih kasih.

“Semua pekerja Mimos yang diberhentikan sebelum ini secara penamatan kontrak atau peletakan secara paksa kerana kecurangan pentadbiran lalu dipanggil semula dan ditemubual secara neutral bagi memastikan tiada penganiayaan berlaku ke atas mereka.

“Kami juga menuntut diadakan pelantikan pegawai baharu dari kalangan mereka yang jujur dan ikhlas bagi memenuhi hala tuju Mimos seperti terkandung dalam hasrat asal penubuhannya.

“Pegawai dilantik juga mesti mempunyai kelulusan, pengalaman dan kepakaran relevan seperti dihasratkan kerajaan PH tanpa adanya unsur pilih kasih dan kecenderungan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, satu proses rasionalisasi menyeluruh pula harus diadakan ke atas semua pegawainya terutama yang menerima gaji tidak setimpal, tidak munasabah dan terlalu tinggi untuk sebuah agensi “non-profit” kerajaan seperti Mimos.

Selain itu, MITI perlu memanggil semua syarikat penerima teknologi Mimos yang terpaksa membayar fi mahal kepada syarikat itu tanpa mendapat apa-apa manfaat daripadanya.

Belilau turut menuntut siasatan dijalankan terhadap proses “divestment” Mimos yang menyebabkan kerugian teruk kepada kerajaan dan penganiayaan kepada pekerja.

“Ini pernah berlaku kepada syarikat ‘Jaring’ pengendali internet pertama negara yang akhirnya terpaksa ditutup dan dilelong.

“Semua perbelanjaan Mimos dan kemerosotan ketara rizab simpanan Mimos sebanyak RM100 juta juga perlu disiasat, termasuk mengenalpasti kenapa terlalu banyak projek pengubahsuaian bangunan Mimos dan siapa mendapat manfaat atas projek itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: