MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Ahad, 23 Jun 2019
Piagam kerjasama PAS-Umno tiada makna, kata penganalisis
Oleh Mohd Farhan Darwis
KERJASAMA dengan Umno dan Barisan Nasional dijangka hanya akan
menjadi duri dalam daging dan bukannya satu talian hayat seperti
rancangan parti Islam terbabit, kata penganalisis.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Center Azlan Zainal menjelaskan ini
memandangkan gabungan Umno dan PAS tidak lebih sekadar “kerjasama demi
kuasa untuk kembali berkuasa.”
Jelasnya kedua-dua parti itu masih tidak dapat menguruskan perbezaan
ideologi serta pertembungan sentimen politik, manakala dalam kalangan
ahli juga masih belum dapat memaafkan satu sama lain.
Isu kerjasama itu dijangka akan menjadi isu hangat dalam Muktamar PAS
ke-65 di Kuantan minggu ini dan akan dimasukkan dalam piagam kerjasama
dengan Umno.
“Piagam boleh terbentuk tetapi ia masih kekal sekadar gimik sehingga
setiap parti mampu mengkesampingkan kepentingan ideologi dan
pertembungan sentimen politik selama ini.
“Pasca PRU14, walaupun di peringkat pimpinan boleh saling sepakat,
menerima dan boleh memaafkan namun ia tidak terjadi di peringkat akar
umbi secara total,” katanya.
Azlan menjelaskan ahli PAS di negeri pantai timur, terutamanya ahli
lama, mempunyai sejarah lama pertembungan dengan Umno, berbeza dengan
penerimaan ahli di pantai barat.
“Di kalangan ahli lama, menerima Umno adalah sesuatu yang mustahil
kerana sejarah hitam yang panjang di antara kedua parti,” kata Azlan.
Umno
yang diterajui Mohamad Hassan dan PAS diketuai Hadi Awang perlu
menjelaskan pelbagai aspek sekiranya mahu piaga kerjasama dua parti
utama Melayu Islam itu berjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight
Azlan berkata, masih banyak isu teknikal perlu dijelaskan dalam
piagam antara PAS dan Umno untuk membolehkan ahli menerima kerjasama
tersebut.
“Contohnya, pembahagian negeri antara Umno dan PAS, kerusi-kerusi
yang ingin ditandingi, dan fokus isu yang ingin diperjuangkan,” katanya.
Seorang lagi penganalisis berpendapat kerjasama dengan Umno itu tidak
menguntungkan parti Islam tersebut dan membuatkan PAS semakin dilihat
ekstrem.
Ini memandangkan, PAS hanya mampu ke hadapan apabila melibatkan
isu-isu kaum dan Islam, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Mohammad
Tawfik Yaakub
“PAS hilang roh politik Islam versi Malaysia yang lebih sederhana.
“Jika pendekatan politik kaum agama ekstrim masih diteruskan oleh
PAS, ini seolah-olah mencontohi pemerintahan Taliban Afghanistan, dan
beberapa buah negara di Timur Tengah.
“Malah PAS kembali mewarnai hala tuju parti dengan pegangan kaum dan
pandangan agama yang ekstrim berbeza ketika parti dipimpin oleh
(Allahyarham) Fadzil Noor,” katanya.
Muktamar
PAS di Kuantan hujung minggu ini bakal jadi perhatian kerana piagam
kerjasama politik dengan Umno akan dibincangkan. – Gambar fail The
Malaysian Insight
Pada masa sama, beliau berpendapat PAS kini hanya menjadi pak turut
sedangkan parti Islam itu sebelum ini banyak mengkritik pentadbiran
kerajaan Umno.
Tambahnya, kini parti Islam itu seolah-olah melupakan apa yang pernah dikritik oleh mereka.
“Majoriti ahli Parlimen PAS bertindak sebagai tulang belakang dan
penasihat agama Umno di Parlimen apabila bersama-sama dalam blok
pembangkang.
“Oleh itu PAS hanya mampu mendabik dada mendapat sokongan tinggi
orang Melayu-Islam sedangkan parti itu lemah dalam menjalankan
pentadbiran,” kata Tawfik lagi.
Jelasnya, beliau melihat PAS tidak membawa pembaharuan di Kelantan dan tiada penunjuk prestasi yang jelas di Terengganu.
“Tiada pembaharuan dalam pentadbiran dan polisi kerajaan Kelantan, hanya meneruskan corak urus tadbir sebelumnya.
“Setahun Shamsuri (Mokhtar) menjadi menteri besar Terengganu, beliau
terkepung dengan perjuangan isu mendapatkan royalti petroleum sahaja,”
katanya.
Beliau juga melihat organisasi PAS juga semakin mengecil dan sokongan
yang diterimanya semakin merudum disebabkan perubahan aliran perjuangan
yang lebih ekstrim.
“Dalam tempoh setahun selepas PRU14, PAS perlu mendedahkan jumlah
ahli terbaru parti yang telah dikemaskini dan bilangan ahli baru
menyertai PAS.
“Inilah kaedahnya jika PAS ingin memperlihatkan partinya semakin kuat
berbading pesaingnya iaitu Amanah, yang lebih kuat kawasan bandar,
terutamanya di Lembah Klang,” katanya.
Dakwaan mengenai kelemahan pentadbiran di Terengganu ditangkis oleh
pesuruhjaya PAS Pahang yang mempertahankan kejayaan melaksana hampir
kesemua manifesto pilihan raya.
Rosli Abdul Jabar berkata prestasi seperti itulah yang membolehkan PAS mentadbir Kelantan selama lebih 20 tahun.
“Tapi di Terengganu walaupun baru setahun (memerintah) tiada isu
besar hingga sebabkan berlaku ketidakpuasan hati rakyat Terengganu.
“Apatah lagi hampir 100% manifesto yang dijanjikan hampir ditunaikan PAS Tengganu, dari segi prestasi itu sangat baik,” katanya.
Muktamar PAS akan berlangsung di Kuantan hujung minggu ini dan
dijangka akan menyaksikan perdebatan hangat berkaitan kerjasama dengan
Umno.
“Yang pastinya PAS sudah pasti menetapkan syarat dan membuat sesuatu
yang memberi kelebihan atas dasar keuntungan sesama Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan