HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2019

Ejek, buli Orang Asli: 'Bermula dari rumah, cerminan masyarakat'


   

Isu keciciran Orang Asli dalam pendidikan dibangkitkan dalam satu forum minggu lalu, di tengah-tengah masalah masyarakat itu - antaranya masalah tanah adat dan kesihatan - mendapat liputan meluas.

Menurut Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa), kadar keciciran sekolah menengah dalam masyarakat itu semakin meningkat dan mencapai 51.06 peratus pada tahun 2018.

Antara sebab yang dibangkitkan dalam forum itu ialah pelajar Orang Asli dibuli dan dihina oleh pelajar lain menyebabkan mereka berhenti sekolah.

Ia turut menyimpulkan  diskriminasi dan rasa takut kehilangan identiti sebagai faktor kepada perkara itu.

Bagi Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM) Tijah Yok Chopil dan Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi, punca perkara itu tidak lain dan tidak bukan bermula daripada ibu bapa.

Mereka berkata golongan lain merasakan kedudukan mereka lebih baik daripada Orang Asli dan tidak diberi kesedaran berkenaan masyarakat itu.

"Pelajar ini kalau tak belajar daripada orang dewasa, mereka tak tahu istilah atau perkataan tertentu yang rasis terhadap kaum lain. Jadi bagi saya ia wujud kerana orang dewasa sebelum ini.

"Contohnya sejak penjajahan berlaku lagi Orang Asli dikategorikan sebagai 'sakai'...Orang yang tak ada status atau berstatus rendah, dan tak tahu apa-apa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tijah Yok Chopil
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, sakai bermaksud orang yang berada di bawah perintah dan orang bawahan yang boleh disuruh-suruh.

Dolah berkata ejekan daripada orang Melayu lebih dirasakan kerana mereka memahami bahasa kebangsaan.

"Berbanding ejekan daripada pelajar Cina dan India, walaupun ia berlaku tetapi kerana jurang bahasa, ia kurang diambil peduli oleh Orang Asli yang dibuli," katanya.

Katanya, kebanyakan pelajar Orang Asli tetap dianggap sebagai berkedudukan rendah walaupun pelajar itu tidak kelihatan selekeh tetapi berpakaian kemas, sama seperti pelajar lain.
Dolah Tekoi
Dalam forum itu salah seorang panel Jenita Engi, berkata gejala buli menyebabkan ibu bapa Orang Asli bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka sekiranya mereka dihantar ke sekolah jauh dan menjadi etnik minoriti.

Bagaimanapun beliau turut membangkitkan tanggapan Orang Asli sendiri terhadap sistem pendidikan, menganggapnya sebagai bersifat diskriminasi, etnosentris dan bertujuan mengubah agama anak-anak mereka, sebagai antara sebab keciciran.

Buli dipandang remeh

Mengulas lanjut, Tijah berkata Orang Asli sering dilihat sebagai kaum yang tiada agama - tidak seperti kaum lain - dan ia menyebabkan mereka dilihat berbeza.

“Akhirnya Orang Asli bukan saja dianggap tak pandai, mereka juga dianggap manusia yang tak percaya pada Tuhan.

“Walaupun kita tak masuk Islam, Kristian, saya rasa (Orang Asli) lebih sempurna daripada suku kaum lain sebab kita menghormati Tuhan dengan menghormati alam sekeliling, menghormati dengan apa yang wujud, hidup dengan tidak mencederakan, atau menghapuskan hidupan lain selain daripada untuk makan dan minum,” katanya.
Dolah pula melihat masalah buli dan ejekan terhadap pelajar Orang Asli masih dipandang remeh terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan teguran terhadap pelaku, kerana mereka masih bebas untuk berbuat demikian secara terbuka.

Justeru dia mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menjejaskan hubungan antara kaum dan kemajuan sesuatu kaum, terutama Orang Asli yang berdepan masalah kurang keyakinan diri dalam pelajaran dan juga pekerjaan.

Ejekan beri impak psikologi

Prof Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik (Kita) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga tidak menafikan didikan di rumah antara punca amalan membuli dan mengejek.

“Bahasa yang dituturkan, lebih-lebih lagi oleh anak-anak adalah cerminan sosial dan moral tentang didikan yang diterima di rumah daripada ibu bapa. Anak-anak didapati banyak meniru daripada orang dewasa.

“Ini penting kerana bahasa tidak sopan bukan sahaja boleh membangkit emosi yang mempunyai impak psikologi mendalam pada pihak yang dipersenda dan dihina. Ia juga sebenarnya memperlihat moral kita yang amat rendah,” katanya.

Pengarah Kita, Profesor Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin pula berpendapat ia berkaitan dengan defisit sosial sedia ada dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, di mana terdapat perbezaan yang menjejaskan komunikasi.

“Apa yang disuarakan oleh peserta forum adalah suatu katalog atau senarai defisit sosial yang perlu kita tangani dengan lebih bijak, prihatin dan terperinci.

“Ada yang bersifat peribadi, berasaskan pengalaman keluarga, atau pengalaman kolektif sesebuah komuniti. Ini berlaku akibat wujudnya stereotaip dan prejudis,” katanya.


Tiada ulasan: