Bertugas di Tanah Suci semestinya memberikan cabaran unik berbanding di tanah air buat jururawat yang dipilih menyantuni duyufurrahman (tetamu Allah) pada musim haji tahun ini.
Ketua Jururawat Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah, Zarinah Man, berkata tidak banyak perbezaan jika dilihat dari skop kerja jururawat.
Bagaimanapun katanya cabaran amat berbeza dari segi penyediaan kemudahan perubatan dan layanan buat jemaah haji.
"Berbeza dari di tanah air apabila kami bekerja di fasiliti kesihatan yang sudah tersedia, di sini kami kena tetapkan kemudahan itu dari mula sehingga boleh beroperasi sempurna.
"Pusat Rawatan TH Syisyah asalnya bangunan hotel, jadi kami kena sediakan kemudahan perubatan di sini - daripada katil, kaunter, farmasi, wad dan pelbagai lagi - menjadi sebuah pusat rawatan yang mampu berfungsi memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji," katanya kepada pemberita di Makkah hari ini.
Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan dibantu 640 petugas TH.
Datang berdua pulang seorang
Antaranya Klinik Kecemasan Abraj Janadriyah di Makkah dan Pusat Rawatan TH Al Jaffery di Madinah.
Katanya sabar merupakan sifat yang paling penting dalam diri setiap jururawat yang bertugas menyantuni jemaah haji, selain perlu sentiasa menetapkan niat untuk bertugas sebagai sebahagian daripada kerja ibadah mereka.
"Saya sendiri kali keenam mohon, baru diterima bertugas di sini, jadi sifat sabar lebih daripada 10 kali sabar ketika bertugas di tanah air kena ada dalam setiap jururawat itu terutama dalam menyantuni jemaah haji," katanya yang kali keempat bertugas di Tanah Suci.
Katanya bekerja sebagai sebuah keluarga di Makkah - tanpa mengira pangkat - menjadi pengalaman manis, manakala pahit apabila jemaah haji meninggal dunia di hadapan matanya.
Zarinah berkata dia berusaha menahan kesedihan melihat pasangan jemaah haji itu yang datang berdua tetapi pulang seorang.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan