HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2019

Pemandu didenda RM5,000 bawa kambing, biri-biri

MALAYSIAKINI

   

Seorang pemandu lori sambilan sebuah syarikat penternakan kambing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah membawa sejumlah kambing dan biri-biri hidup menggunakan lori tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, akhir bulan lepas.

Ibrahim Salleh, 67, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Dia yang berasal dari Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, turut diperintahkan Norasidah untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim didakwa membawa 40 ekor kambing dan 20 biri-biri hidup menggunakan sebuah lori tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Negeri Johor atau wakilnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 10.45 pagi di tepi Jalan Dato’ Onn Utama, di Johor Bahru, 27 Jun lepas, yang mana kawasan itu diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut Negeri Johor 2005 (J.P.U 10).

Ibrahim didakwa melakukan kesalahan yang melanggar kehendak peruntukan Perenggan 2(a)(iii) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Johor 2005 (J.P.U 10) dan boleh dihukum di bawah sub seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 [Akta A1452], yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor Mohd Faiz Ajis manakala Ibrahim tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Ibrahim memohon mahkamah mengenakan denda yang ringan dengan alasan mempunyai mempunyai lima tanggungan selain hanya bekerja sambilan dengan gaji RM40 sehari.- Bernama 


Tiada ulasan: