HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Julai 2019

Kes pencemaran Sg Selangor: Tiada unsur sabotaj – KPN

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, sebaliknya ia adalah akibat kecuaian.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan mendapati pencemaran itu disebabkan kecuaian pekerja syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk membersihkan sungai itu.

“Kami juga akan menyiasat laporan palsu yang dibuat sebelum ini untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu.

“Siasatan masih giat dijalankan dan hasil siasatan penuh akan selesai dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Autisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Khamis lepas, polis menahan pengusaha pontun dan pekerjanya berusia awal 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan punca pencemaran diesel di sungai berkenaan.

Abdul Hamid berkata seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala tempoh tahanan reman seorang lagi yang tamat hari ini, akan dilanjutkan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius kes pencemaran di Sungai Selangor kerana mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan.

Susulan insiden pencemaran itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: