HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Julai 2019

MMU tak jadi naikkan yuran selepas 1,000 pelajar protes

MALAYSIAKINI

   

Universiti Multimedia (MMU) Melaka bersetuju untuk tidak menaikkan yuran aktiviti pelajar sedia ada setelah pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati mengadakan protes membantah kenaikan tersebut.

“Berdasarkan persefahaman antara kita, pihak pengurusan bersetuju tidak ada peningkatan yuran aktiviti untuk semua pelajar sarjana dan sarjana muda sedia ada.

“Bagaimanapun, pengumuman rasmi berkaitan polisi itu akan dikeluarkan oleh pihak pengurusan selepas perbincangan lebih terperinci diadakan dengan majlis perwakilan pelajar (SRC)” kata SRC dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka turut berterima kasih kepada pengurusan MMU kerana memberikan kerjasama untuk mendapatkan penyelesaian menang-menang terhadap isu itu.

“Kami menghargai kesabaran dan sokongan para pelajar sepanjang isu ini berlaku,” kata mereka lagi.

Keputusan itu merupakan hasil rundingan antara SRC dan pihak pengurusan MMU.

Pada 23 Julai, kira-kira 1,000 pelajar MMU berkumpul di Dataran Presiden universiti tersebut untuk melakukan protes terhadap peningkatan yuran yang menurut mereka sebagai satu kenaikan yang tidak adil.

Dalam satu memo kepada pelajar, pihak universtiti memaklumkan hasrat mereka untuk menaikkan yuran tersebut daripada RM110 kepada RM500 setiap tahun.

Kata memo itu lagi, peningkatan itu akan dijalankan pada April 2020 dan keputusan itu diambil bagi membolehkan penganjuran aktiviti pelajar yang lebih berimpak tinggi.

Presiden SRC Pouria Zibaei mendakwa pengumuman kenaikan yuran tersebut dibuat tanpa mendapat kebenaran majlis itu, kelab dan persatuan.

Beliau turut berkata sejumlah 11,500 tandatangan pelajar berjaya dikumpulkan oleh SRC berhubung kes itu dan diserahkan kepada pihak pengurusan pada 19 Julai.

Sehari selepas protes tersebut, pihak pengurusan telah menghubungi SRC untuk mengatur pertemuan bagi berunding tentang isu kenaikan yuran tersebut.

Perjumpaan itu sepatutnya berlaku minggu lepas.


Tiada ulasan: