HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Julai 2019

Kalau parlimen bubar dan Hadi jadi PM

MALAYSIAKINI

   

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mempunyai cara tersendiri untuk menjawab saranan PAS yang mahu agar parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.

Menurut Hanipa Maidin, ada banyak kemungkinan yang "best" boleh berlaku jika saranan dibuat Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, itu diikut.

Melalui hantaran santainya di media sosial, Hanipa berkata, jika parlimen dibubarkan dan PRU dijalankan sekarang beliau mengandaikan pembangkang mengalahkan PH.

Anggota parlimen Sepang itu berkata, dengan andaian tersebut Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan dilantik menjadi perdana menteri, manakala Tuan Ibrahim diangkat sebagai menteri kewangan.

Anggota Parlimen Pasir Puteh merangkap Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh pula, kata Hanipa, boleh dilantik menjadi menteri di Kementerian Dalam Negeri.

"Wan Ji Wan Hussin akan dianggap sebagai musuh negara," katanya dipercayai merujuk kepada pelawaan pendakwah bebas itu kepada Nik Zawawi untuk berdialog atau berdebat mengenai hukum wajibnya menjatuhkan kerajaan PH.
Hanipa yang memang selalu memuat naik hantaran secara sinis di media sosial juga membayangkan Anggota Parlimen Kuala Nerus Dr Khairuddin Aman Razali menjadi menteri pendidikan.

"Para guru kemudian dihadiahkan kereta Audi Q7 pada Hari Guru.

"YB Bachok (Nik Abduh Nik Abdul Aziz) pula menjadi menteri luar sebab beliau pakar dan arif hal ehwal Israel seperti yang dia kata dalam audio 'ana tahu' itu," katanya.
 
Tidak ketinggalan Hanipa mengusik beberapa pemimpin lain dalam PAS, seperti anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik, yang menjadi bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mantan anggota parlimen Temerloh (Nasrudin Hassan) pula jadi pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Andaian lain yang turut mendapat perhatian Hanipa ialah ahli perniagaan buruan banyak negara, Jho Low, diberi pengampunan dan dibenarkan kembali ke negara ini.




"Katakan beg-beg tangan mewah yang dirampas polis itu kemudian akan dijual lelong murah-murah atau disedekah pada guru-guru Pasti (prasekolah milik PAS) atau tadika Kemas.

"Katakan mantan perdana menteri (Najib Razak) dilantik penasihat kewangan negara dan bergelar Tun.

"Katakan itu semua berlaku, mesti best, kan? Tak sabarnya nak lihat itu semua," katanya berseloroh.


Tiada ulasan: