HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Julai 2019

Liew kata kenyataan disalah petik, ini penyata Hansard

MALAYSIAKINI

   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mendakwa kenyataannya disalah petik dalam laporan media berhubung kes rasuah melibatkan jam tangan mewah setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

FMT melaporkan Liew sebagai berkata bahawa dia tidak pernah memberitahu Dewan Negara bahawa setiausaha politik itu, Ahmad Sabki Yusof membeli jam berkenaan.

"(Saya) disalah petik. Saya tidak kata apa-apa tentang dia membeli (jam tangan itu).

"Apa yang saya kata adalah dia (Ahmad Sabki) sudah menjelaskan apa yang berlaku dan dia sudah mengisytiharkan kepentingannya. Sebab itu SPRM lepaskan dia," katanya dipetik sebagai berkata.
Iklan
 
Liew juga berkata, kenyataan sebenarnya boleh disemak dalam penyata Hansard Dewan Negara.
Sila klik pautan ini jika ingin membaca penyata Hansard yang mengandungi kenyataan dimaksudkan itu.

Pada muka surat 25 perenggan ke lapan, baris 4-7 tertera Liew sebagai berkata: "Saya tidak dapat pastikan kedudukan yang sepenuhnya mengenai kes dua orang pegawai itu tetapi saya telah pun difahamkan mengenai satu kes itu, pihak SPRM telah pun buat pelepasan kepada beliau kerana beliau dapat menjelaskan di mana beliau dapatkan kewangan itu untuk membeli satu jam tangan".

Penyata Hansard itu juga merakamkan Liew mecadangkan kepada senator BN Ibrahim Shah Abu Shah untuk membawa perkara itu kepada Operations Review Panel SPRM sekiranya masih tidak berpuas hati dengan keputusan SPRM tidak menyiasat lanjut kes berkenaan.

Sepucuk surat bocor yang dihantar Sabki pada 2 Mei lalu yang dilihat Malaysiakini menunjukkan Sabki mengaku menerima hadiah seutas jam tangan mewah.

SPRM turut menjelaskan telah menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) awal bulan ini.

Memberikan kenyataan yang salah dalam Parlimen adalah satu kesalahan yang serius. Di Dewan Rakyat, memberikan kenyataan yang mengelirukan dewan dianggap sebagai suatu perbuatan keji dan boleh dikenakan tindakan disiplin.

Dewan Negara tidak mempunyai peraturan serupa. Bagaimanapun, ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang memantau perkara-perkara yang mungkin menjejaskan kuasa dan kebebasan Dewan Negara.

Presiden MCA Wee Ka Siong sebelum ini menggesa Liew menjelaskan kenyataannya di Dewan negara berhubung isu berkenaan.

Sabki ditahan oleh SPRM pada 1 April lalu kerana disyaki menerima satu jam tangan mewah, tetapi dilepaskan empat hari kemudian. Dia disiasat bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM.

Menteri pertanian, Salahuddin Ayub menafikan wujudnya projek pembangunan yang mendorong SPRM menyiasat setiausaha politiknya itu.

Dalam surat kepada Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed yang dilihat Malaysiakini, Ahmad Sabki Yusof mengaku jam tangan itu sebagai pemberian.

Bagaimanapun, dakwanya, unit integriti kementerian itu bertindak tidak adil kepadanya kerana menuduhnya menerima rasuah selepas dia membuat pengisytiharan menerima jam itu pada 25 Julai 2018.

Tuduhan rasuah itu dinafikan oleh Sabki.


Tiada ulasan: