SUNGAI PETANI: Seorang anggota trafik Peronda Lebuhraya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta selepas pemandunya bertindak agresif dan cuba melanggar anggota terbabit, pada Isnin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.25 malam di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, selepas kereta yang dinaiki dua suspek, bertindak cuba melanggar dua anggota trafik yang menghampiri mereka.
Menurut Ketua Polis Kuala Muda, Asisten Komisiner Adzli Abu Shah, ini susulan kejadian kemalangan di Kilometer 115 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Bertam yang melibatkan tiga kenderaan termasuk kereta suspek dan dua motosikal serta tiga mangsa.
Anggota peronda terbabit kemudiannya mengekori kenderaan jenis Mazda 323 dinaiki suspek sehingga ke kawasan parkir Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan mengarahkan suspek untuk keluar dari kenderaan.
Bagaimanapun suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar salah seorang anggota trafik tersebut yang memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta suspek.
Suspek bagaimanapun terus memecut kenderaan sebelum terbabas di tepi jalan dan melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran.
Susulan kejadian polis menahan dua wanita berusia 20 dan 50-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan