“SAYA rindu sangat dengan emak, dah sebulan hilang, bantulah kami cari dia,” kata Mohd Aiman Syukur Mahmud, 9, anak sulung kepada Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang dilaporkan hilang di Tamil Nadu, India sejak 29 Jun lalu.
Mohd Aiman Syukur, murid tahun tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phin Min, Behrang Stesen dekat Behrang berkata, sejak ibunya pergi ke India dan kemudian dilaporkan hilang, dia dan adiknya, Mahnas Hibatullah Syazana, 4, diuruskan oleh ayahnya, Mahmud Rahman Shariff, 47.
Menurutnya, dia sedih ketika ibunya membuat keputusan melawat saudara-mara di India dan kini bertambah pilu apabila mendapat tahu ibunya hilang ketika berada di negara itu.
“Biasanya setiap pagi emak menyiapkan pakaian sekolah dan sarapan saya dan apabila balik sekolah, emak juga masak untuk saya tetapi sekarang tidak dapat merasa masakan emak lagi.
“Saya mohon tolong cari emak saya kerana setiap hari bila bangun tidur, saya terus teringatkan emak dan takut apa-apa terjadi kepadanya di tempat orang,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya yang terletak berhampiran rumahnya di Bandar Sri Behrang, hari ini.
Habibuneesa disedari hilang ketika berada di rumah saudaranya di Pandaravadai, Papanasam di Tamil Nadu kira-kira 3 pagi waktu tempatan pada 29 Jun lalu.
Suri rumah itu pergi ke India bersama ibu saudaranya yang dikenali sebagai Nur Jihan, 38, dan sepupunya, Yunus Shukri, 4, pada 24 Jun lalu sebelum dilaporkan hilang di negara berkenaan lima hari kemudian.
Mohd Aiman Syukur berkata, dia masih ingat pesanan ibunya sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) supaya menjaga adik dan bapanya selain memintanya rajin belajar serta menunggu kepulangan ibunya.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan ibunya ialah pada 24 Jun lalu menerusi perbualan dan gambar dihantar menggunakan WhatsApp, ketika ibunya itu berada di KLIA sementara menunggu pesawat berlepas ke India.
Sementara itu, Mahmud Rahman berkata, dia sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar Negara di Putrajaya untuk mengetahui status perkembangan kes kehilangan isterinya di India itu.
Dia juga dibantu Dr S Santharasekaran yang menghubungi pihak berkuasa tempatan di India dengan menggunakan e-mel untuk mengetahui perkembangan siasatan dan memohon agar menyelesaikan kes itu dengan segera.
“Setakat ini, belum ada berita gembira daripada kerajaan India atau pihak kerajaan Malaysia menyebabkan saya amat bimbang keselamatan isteri apabila mengenangkan nasibnya.
“Setiap hari terutama awal pagi, anak akan bertanya bila emak nak balik...saya dah tak mampu nak bagi jawapan kepada kedua-dua anak yang amat rindukan emak mereka ketika ini,” katanya yang bekerja sebagai tukang paip.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan