SEPANG: Selepas lebih 2 bulan dirawat di kota London, bayi perempuan berusia 11 bulan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang selamat menjalani pembedahan di sana pulang ke tanahair.
“Alhamdulillah, Ainul sihat. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah kami selamat sampai.”
Itu merupakan kata-kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa Ainul Mardhiah kepada pemberita sebelum anaknya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan MH0003 dari London.
Ainul Mardhiah dibawa ke HKL untuk rawatan susulan dan pemantauan.
Beliau berkata anak perempuannya itu berada dalam keadaan baik sepanjang 12 jam penerbangan.“Alhamdulillah keadaan semua ‘ok’ kami selamat sampai dan tiada sebarang masalah di atas ‘flight’,” katanya lagi.
Ainul Mardhiah, bapanya dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, disambut lebih 20 orang keluarga terdekat di KLIA.
Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu perunding anaesthesiologi dan pakar penjagaan kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Dr Jaseemudeen Abu Baker serta perunding anaesthesiologi dan pakar perubatan penjagaan kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.
Ainul Mardhiah yang menghidap kanser “germ cell tumor” tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan selama 5 jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang tumor seberat 200 gram pada 10 Jun.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi 3 hari bulan lepas.
Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan