HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Julai 2019

Biar rakyat tentukan PM ke-8, elak Dr M tersilap pilih pengganti lagi



Bagi mereka yang lahir pada 1981 seperti saya, kita kini memasuki fasa jubli perak, tahun ke-25 hidup di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Dalam 23 tahun pertama pemerintahan Mahathir dari 1981 hingga 2003, perkara paling popular disebut-sebut rakyat ialah Wawasan 2020 yang diilhamkan Mahathir.

Wawasan 2020 ialah satu sasaran di mana Malaysia akan mencapai tahap negara perindustrian yang maju bukan saja dalam bidang ekonomi, tetapi semua bidang lain termasuk sosial, kerohanian dan kualiti hidup rakyat.

Wawasan 2020 ini menjadi kompas pembangunan negara dan Mahathir berjaya mempromosikan konsep ini sehingga menjadi cita-cita setiap rakyat Malaysia.

Di bawah pimpinan Mahathir, Malaysia berjaya mengharungi krisis kewangan pada 1997 dan Wawasan 2020 terus dijadikan sasaran utama untuk menjadi negara maju.

Wawasan 2020 ialah aspirasi yang begitu dekat di hati Mahathir, meskipun beliau bersara pada 2003, Mahathir dilihat tetap aktif melibatkan diri dalam politik negara dengan satu tujuan – memastikan negara terus mara ke arah Wawasan 2020 yang disasarkan beliau.

Orang pertama yang dipilih beliau untuk meneruskan aspirasi Wawasan 2020 ialah Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali sebagai Pak Lah.

Pak Lah dipilih menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri pada 2003. Mahathir yang memilih Pak Lah dan bukannya rakyat. Rakyat sekadar “endorse” atau menyokong keputusan ini melalui pilihan raya umum pada 2004.

Namun, pentadbiran Pak Lah mula menjadi kontroversi ekoran cerita yang menyelubungi menantunya, Khairy Jamaluddin dan Tingkat 4 Putrajaya.

Barangkali menyedari aspirasi Wawasan 2020 tergugat di bawah pemerintahan Pak Lah, Mahathir bertindak menyerangnya sehingga Barisan Nasional hilang 2/3 majoriti di Parlimen yang memaksa Pak Lah berundur.

Selepas Pak Lah direhatkan, Najib Razak pula dipilih menjadi perdana menteri dan Mahathir merestuinya. Sudah pasti Mahathir mengharapkan Najib akan memulihkan agenda Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020.

Malangnya, konsep Wawasan 2020 ini semakin pudar di bawah Najib yang sibuk mempopularkan konsep 1Malaysia. Bahkan boleh dikatakan rakyat Malaysia dibuai konsep 1Malaysia dan skandal 1MDB sehingga terlupa Wawasan 2020.

Melihat Wawasan 2020 semakin tersasar daripada landasannya, Mahathir melancarkan serangan terhadap Najib bersenjatakan isu 1MDB ciptaan Najib sendiri sehinggalah beliau tumbang.

Perbezaan kejatuhan Najib dan Pak Lah ialah Najib tumbang bersama kerajaan BN dan kerajaan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan dengan Mahathir kembali menerajui negara.

Sejurus menjadi perdana menteri semula dan menilai kewangan negara, Mahathir terus mengakui Wawasan 2020 tersasar dan terpaksa digantikan Wawasan 2025.

Mahathir mendedahkan selepas beliau meletak jawatan perdana menteri pada 2003, penggantinya gagal memastikan objektif Wawasan 2020 tercapai.

“Wawasan 2025 sebab pengganti saya memastikan kita tak boleh capai objektif (Wawasan 2020),” kata Mahathir tanpa menyebut nama secara khusus.

Kalau bukan Pak Lah dan Najib, siapa lagi yang dimaksudkan beliau?

Sempena hari jadi ke-94 beliau minggu lalu, Mahathir menyuarakan hasrat untuk memulihkan negara.

“Hajat hari jadi saya sangat mudah, supaya saya dapat menyelesaikan tugas memulihkan kembali Malaysia. Menjadi satu penghormatan untuk saya terus berkhidmat di negara ini,” kata Mahathir.

Sudah tentu, antara perkara utama yang beliau ingin lihat ialah Wawasan 2025 menjadi kenyataan dan penggantinya perlu memastikan agenda ini tercapai.

Sepanjang 24 tahun Mahathir mentadbir, hanya satu kelemahan beliau yang paling ketara, iaitu memilih penggantinya.

Kali ini, Mahathir tidak boleh mengulangi kesilapan dalam melantik penggantinya.

Ini kerana usianya yang sudah lanjut akan menyebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk memperbaiki keadaan sekiranya tersilap memilih pengganti seperti menjatuhkan Pak Lah dan Najib, apabila beliau merasakan mereka menjadi liabiliti negara.

Semoga Mahathir diberikan kesihatan untuk terus berkhidmat sehingga bersara. Tetapi kali ini, pohon beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk menentukan siapa perdana menteri seterusnya selepas beliau bersara dan bukannya Mahathir ataupun PH.

Dengan ini, Mahathir tidak perlu rasa bersalah kepada rakyat jika penggantinya tidak seperti diharapkan kerana ini adalah pilihan rakyat sendiri, tidak seperti Pak Lah dan Najib.

Jangan ulang peristiwa di mana Mahathir memilih pengganti dan rakyat yang diminta “endorse” pilihannya pada pilihan raya umum nanti.

Manifesto bukan kitab suci kan?

Senyum. Selamat Hari Jadi ke-94 Tun!

Tiada ulasan: