HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Julai 2019

Apa akhirnya siasatan video seks?

DENYUT REFORMASI

 
 
RAKAMAN seks yang menampilkan seseorang yang mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali jelas semata-mata hanyalah politik longkang.

Polis berkata ia konspirasi politik untuk menjatuhkan Azmin yang juga timbalan presiden PKR. Polis juga berkata analisis wajah pada rakaman itu tidak kukuh.

Ada yang tidak berapa masuk akal di sini.

Kalau ini konspirasi politik, tidakkah mereka yang terlibat akan memastikan bahawa sosok dalam rakaman itu nampak seperti beliau?

Alasan video VK Lingam – nampak macam saya, suara macam saya – yang ironinya menghantar perakamnya ke Dewan Rakyat jadi relevan.

Apatah lagi, konspirasi politik bukanlah satu jenayah. Berhubungan seks di luar tabi’i dan menyebarkan bahan lucah sebaliknya adalah jenayah.

Ini membawa perhatian kita kepada perintah tahanan reman yang dilanjutkan ke atas Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman seks itu.

Beliau menuduh Azmin sebagai pasangannya, yang dinafikan oleh menteri itu.

Begitu juga dengan perintah tahanan reman ke atas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.

Mereka berdua direman untuk siasatan kerana menyebarkan bahan lucah dan salah guna rangkaian komunikasi.

Adakah itu akhirnya skandal ini?

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berterus terang bahawa penyiasatan ke atas rakaman seks ini membuang banyak masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain, kerana ini semua politik.

Mungkin ada benarnya. Namun seorang lelaki mengaku terlibat dalam perlakuan seks yang salah di sisi undang-undang Malaysia dan beliau sekarang disiasat kerana menyebarkan bahan lucah. Itu sahaja?

Hakikatnya, dalam hal ini, satu-satunya jenayah di sisi undang-undang Malaysia ialah perlakuan seks di luar tabi’i.

Kecualilah jika ahli politik dan polis sekarang mengatakan ia bukan lagi satu jenayah yang wajar disiasat dan didakwa.

Pakatan Harapan mengambil kuasa dengan ikrar bahawa kedaulatan undang-undang dan keadilan akan menjadi rukun sebuah kerajaan yang baharu.

Namun, mereka menahan pihak yang disyaki dalang kepada rakaman dan penyebaran video seks itu tetapi nampak memejamkan mata kepada perkara yang terang dan nyata.

Anwar dipenjara pada 1999 dan 2012 kerana liwat, dengan kes yang kedua berdasarkan pada keterangan seorang pengadu. Tidak ada video.

Sekarang, seorang lelaki membuat dakwaan yang hampir sama tetapi nampaknya diketepikan dengan alasan pengecaman wajah yang tidak kukuh.

Ini tidak menguntungkan sesiapa, baik Anwar mahupun Azmin. Polis harus jelas bahawa perkara ini disiasat dengan sepenuhnya, walaupun ia dilihat membuang masa.

Siasatan yang tidak konklusif akan dianggap berbaur politik, dan itu tidak berfaedah untuk kerajaan Mahathir yang mentadbir sejak 14 bulan lalu.- .themalaysianinsight.com/ 
 
 

Tiada ulasan: