HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Julai 2019

Tak perlu perbaharui sokongan kerana Anwar tak dicabar, kata PKR Selangor

Amirudin Shari yakin kedudukan Anwar Ibrahim sebagai presiden 
PKR tidak tergugat kerana tiada usaha merampas kuasa dalam 
parti itu.

SHAH ALAM: Tiada keperluan untuk PKR Selangor mengikut jejak pemimpin parti di negeri lain menyuarakan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR, kata Amirudin Shari.

Ketua PKR Selangor itu berkata, isu memperbaharui sokongan kepada Anwar tidak timbul kerana beliau tidak dicabar pihak lain pada pemilihan parti tahun lalu.

“Belum nampak kewajaran kenapa beramai-ramai hendak menyatakan sokongan. Tetapi tidak mengapalah, kalau semua hendak sokong, sokonglah, kami tidak ada masalah.

“Bagi PKR Selangor, kami tetap menyokong seluruh kepimpinan parti, termasuk Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Tidak perlu memperbaharui tekad menyokong presiden sebab masing-masing menyokong kepimpinan.

“Kalau ada usul tidak percaya, barulah sesuatu perlu dilakukan. Namun, sekarang ini perkara itu tidak wujud,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Beberapa ketua negeri dan bahagian mula menyuarakan sokongan mereka selepas Anwar dilaporkan menggesa Azmin melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar sejak bulan lalu.

Pada 24 Julai lalu, seorang pemimpin yang menyokong Anwar dan terbabit dalam pengumpulan tandatangan dilaporkan berkata, pihaknya mendapat sokongan 150 daripada 218 ketua bahagian setakat ini, dengan kebanyakannya dari Perlis, Perak dan Terengganu, manakala sokongan paling sedikit dari Selangor.

Minggu lalu, beberapa pemimpin PKR dari Johor, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan menyuarakan sokongan kepada Anwar.

Hari ini, Amirudin yakin kedudukan Anwar sebagai presiden PKR tidak tergugat kerana tiada usaha merampas kuasa dalam parti itu.

“Presiden tidak pernah dicabar, jadi sokongan itu tidak pernah dipertikaikan, kenapa hendak memperbaharui sokongan?”

Tak hadir mesyuarat PKR

Amirudin berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Ahad lalu akibat kesesakan lalu lintas.

“Kebetulan semalam saya tidak sempat dan sudah maklumkan. Saya cuba hadir, tetapi tidak dapat hadir sebab trafik semalam agak parah. Saya masih di Selangor, tetapi jalan sesak, Selangor banyak kereta, negeri maju.”

Selain Amirudin, pemimpin lain yang tidak hadir mesyuarat semalam adalah Timbalan Presiden, Azmin Ali, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua serta Ketua Wanita, Haniza Talha.

Pangkat tentera

Amirudin yang juga menteri besar Selangor berkata, pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) diberikan kepadanya kerana beliau ialah penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah di negeri itu.

“Bukan saya yang mohon, pada asalnya ia disarankan panglima Briged ke-11 dan Angkatan Tentera Malaysia. Bagi pihak saya, saya tidak ada kekangan apa-apa kerana ia turut diusulkan menteri pertahanan.”

Pada 23 Julai lalu, Kementerian Pertahanan menganugerahkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) Askar Wataniah kepada Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari atas kapasiti mereka sebagai penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah di negeri masing-masing.

Tiada ulasan: