HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Julai 2019

Wang lebih RM48 juta yang dirampas dari bapa Jho Low dilucut hak kepada kerajaan

THE MALAYSIAN TIMES
 
 


KUALA LUMPUR: Wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, berhubung penyiasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini menjadi harta Kerajaan Malaysia.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang memerintahkan wang itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia selepas Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abilash Paul Chelliah selaku pemohon memaklumkan tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah untuk menuntut wang berjumlah RM48,979,500.67 itu.

Larry Low selaku responden yang tidak diwakili peguam juga tidak hadir ke mahkamah.

“Notis kepada pihak ketiga tersebut telah dikeluarkan pada 17 Jun 2019 dan menyatakan hari ini 19 Julai untuk pihak-pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam harta yang disita untuk hadir ke mahkamah dan menyatakan tuntutan.

“Oleh demikian memandangkan tiada pihak ketiga yang hadir untuk menyatakan tuntutan terhadap harta yang dicadangkan untuk dilupuskan, pihak pendakwa raya memohon supaya harta-harta dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia,” kata timbalan pendakwa raya itu.

Aaron Abilash berkata harta yang disita itu ialah wang berjumlah RM20,784,952.56, RM300,000, RM500,000 dan RM20 juta yang disita dari akaun simpanan tetap responden di bank RHB Cawangan KLCC yang disita pada 11 Dis 2018.

Selebihnya adalah wang berjumlah RM6,613,970.78, RM462,618.38 dan RM318,021.95 yang disita dari akaun simpanan tetap dan akaun semasa responden di Maybank, di cawangan Plaza Gurney di Pulau Pinang pada 31 Jan 2019.

Kesemua wang yang dilucut hak itu adalah termasuk faedah-faedah simpanan.

Mohamed Zaini membenarkan permohonan itu dan memerintahkan wang yang disenaraikan tersebut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 56(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Terdahulu timbalan pendakwa raya itu memaklumkan Larry Low sehingga kini tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

“Seperti yang telah dihujah saya pada tarikh lepas, dalam kes ini pihak pemohon telah memohon responden dianggap sebagai orang yang telah melarikan diri. Pihak pemohon pada tarikh lepas juga telah menunjukkan dalam afidavit berkenaan usaha-usaha yang telah diambil untuk mengesan responden termasuk waran tangkap telah dikeluarkan terhadap responden,” katanya.

Pada 29 Mac, kerajaan memfailkan tindakan pelucutan sivil untuk membekukan tujuh akaun bank milik Larry Low dengan mendakwa ia adalah hasil daripada kegiatan pengubahan wang haram.

Notis penyitaan bertarikh 17 Januari 2019 yang ditujukan kepada Goh Gaik Ewe, 66, ibu Jho Low, dikeluarkan mengikut Subseksyen 51 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001. –Bernama 

Tiada ulasan: