HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Julai 2019

MMU perlu perjelas isu kenaikan mendadak yuran aktiviti pelajar

ainulillia

 

Pentadbiran kena bincang, ambil kira kebajikan mahasiswa: Pembina

BANGI – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menggesa Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) di Universiti Multimedia (MMU) mengadakan perbincangan berhubung isu kenaikan yuran aktiviti pelajarnya.

Naib Presiden 1 Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Wafiq Azman berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan isu kenaikan mendadak yuran aktiviti pelajar (SAF), dan himpunan aman yang diketuai oleh SRC di MMU, semalam.

Beliau menegaskan, Pembina tidak bersetuju dengan tindakan pentadbiran menaikkan kadar yuran pelajar secara mendadak tanpa berbincang dan mengambil kira kebajikan mahasiswa MMU. 

“Kami difahamkan ada yang daripadanya masih di bawah tanggungan ibu bapa. Ia sedikit sebanyak bakal membebankan mereka sekiranya yuran berkenaan dilaksanakan.

“Justeru, kami menggesa SRC dan STAD berbincang dan selesaikan isu ini secara matang dan sejahtera untuk mencapai satu keputusan yang dapat memuaskan kedua-dua belah pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wafiq menegaskan, perbincangan antara SRC dan STAD juga perlu dilakukan secara jujur. 

“SRC patut dimaklumkan secara jujur oleh STAD atas sebab apa kenaikan tersebut dilakukan. Dan STAD juga perlu dimaklumkan atas sebab apa pelajar tidak puas hati dengan kenaikan yuran.

“Pembina berpendapat, berdemo bukanlah cara terbaik kerana akan mengeruhkan lagi hubungan antara SRC dan STAD. Pada masa sama, tuntutan agar Pengarah STAD letak jawatan juga tidak masuk akal sekiranya hanya melibatkan isu yuran aktiviti pelajar,” katanya.

Pada masa sama, Pembina turut menggesa pihak STAD agar tidak terlalu lama mendiamkan diri dalam hal ini. 

“STAD perlu turun dan bertemu dengan wakil pelajar bagi berbincang dan menjelaskan akan rasional menaikkan kadar yuran aktiviti pelajar. Anda adalah golongan intelektual, maka berbincang dan bertindaklah secara intelek,” katanya.

Semalam, seramai 1,000 pelajar MMU dilaporkan berkumpul di Universiti Square, Melaka bagi mengadakan protes aman untuk menentang kenaikan yuran aktiviti pelajar.

Yuran itu, yang sebelum ini ditetapkan pada RM110, akan dinaikkan kepada RM500 setiap tahun.

Universiti itu dalam memo kepada pelajar berkata, peningkatan itu hanya akan dilaksanakan pada bulan April 2020 dan keputusan yang dibuat adalah untuk manfaat semua pelajar bagi membolehkan aktiviti pelajar mempunyai kesan yang lebih baik.


Tiada ulasan: