LANGSUNG | Perbicaraan bekas
perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC
International Sdn Bhd masuk hari ke-41 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan:
Deposit tunai dari dana peribadi Najib, kata surat Nik Faisal untuk AmBank
Mahkamah
mendengar daripada bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging
Ping bahawa Nik Faisal Ariff Kamil telah menulis kepada bank itu pada
Disember 2014 untuk menjelaskan sumber wang tunai yang didepositkan ke
akaun bank Najib Razak.
Joanna berkata surat itu ditulis oleh Nik
Faisal kerana AmBank tidak selesa dengan jumlah deposit tunai yang
tinggi dalam tiga akaun bank milik Najib dengan nombor akhir 880, 898
dan 906.
Menurut keterangannya, surat Nik Faisal bertarikh 24
Disember 2014 itu menyatakan bahawa beliau mengesahkan wang itu daripada
"dana peribadi Datuk Seri".
Lebih RM12 juta dimasukkan ke akaun Najib pada 2014 dan 2015
2.45 petang:
Mahkamah diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menerima
sebanyak RM12,379,063 dalam dua akaun bank melalui deposit tunai
beberapa kali pada tahun 2014 dan 2015.
Bekas pengurus hubungan
AmBank Joanna Yu Ging Ping dalam keterangannya berkata akaun peribadi
Najib dengan nombor berakhir 906 itu menerima sejumlah RM6,779,063
antara Jun 2014 dan Mac 2015.
Manakala akaun lain dengan nombor berakhir 880 menerima RM5.6 juta melalui deposit tunai pada Januari dan Feb 2015 .
Ketika
pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, Joanna
berkata bank biasanya hanya membenarkan bayaran tunai jika terlepas
pandang terhadap akaun yang 'overdrawn' (akaun terlebih keluar).
Bagaimanapun,
beliau menambah, bukan perkara biasa bagi pemegang akaun melakukan
pembayaran tunai dan terdapat keperluan bagi bank untuk melaporkan
kepada pihak berkuasa.
Perbicaraan disambung semula selepas waktu rehat tengah hari
2.35 petang-
Prosiding bersambung selepas waktu makan tengah hari dengan pemeriksaan
diteruskan terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging
Ping.
1 petang - Prosiding berhenti rehat untuk makan tengah hari dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Kad kredit Najib tak boleh guna ketika bercuti pada 2014
12.15 tengah hari
- Mahkamah diberitahu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu
bahawa dua kad kredit Najib Razak ditolak (decline) ketika melakukan 16
transaksi berjumlah € 570,000 (RM1.56 juta) pada bulan Ogos 2014.
Menurut saksi berkenaan, transaksi-transaksi itu cuba dilakukan ketika Najib sedang bercuti.
Bagaimanapun,
beliau berkata 10 transaksi lain, yang melibatkan pembelian barang
kemas bernilai RM3.28 juta menggunakan kad kredit yang sama boleh
dilakukan.
Menurut Yu, beliau menghubungi ahli perniagaan Low Taek
Jho melalui Blackberry Messenger pada 9 Ogos 2014, untuk mengesahkan
RM3.28 juta yang dicajkan kepada kad kredit Najib.
Beliau berkata Low menjawab pada hari yang sama mengatakan bahawa Najib bercuti dan "semuanya baik".
Low
kemudian memintanya menghubungi pengarah urusan Kumpulan AmBank ketika
itu, Cheah Tek Kuang untuk menjelaskan jumlah tertentu "kerana kamu tahu
beli apa."
Tak elok jika tengok PM Najib guna cek tendang : Joanna Yu
11.58 tengah hari: Adalah
tidak bagus untuk melihat seorang perdana menteri seperti Najib Razak
mengeluarkan cek sedangkan baki yang ada dalam akaun banknya tidak
mencukupi.
Ini penjelasan yang diberikan bekas pengurus
perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping tentang mengapa beliau berurusan
dengan Jho Low sekiranya tidak dapat menghubungi Nik Faisal Ariff
Kamil, selaku pemegang amanah akaun Najib.
Semasa pemeriksaan
utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram, saksi ke-54 itu
berkata, beliau perlu menyelesaikan dan cuba mengelakkan sebarang cek
tendang yang dikeluarkan daripada akaun Najib jika tidak terdapat baki
yang mencukupi di dalam akaun.
"Apabila terdapat wang yang tidak
mencukupi (dalam akaun Najib), kami tidak fikir cek perdana menteri yang
ditendang akibat baki yang tidak mencukupi adalah bagus. Beliau adalah
perdana menteri Malaysia.
"Oleh kerana ia tidak kelihatan elok bagi PM jika cek dikeluarkan tetapi terdapat wang tidak mencukupi.
"Kami tidak mahu berlaku PM Malaysia tidak mempunyai wang yang mencukupi," kata Joanna ketika memberikan keterangan.
Joanna
menjelaskan itu sebab mengapa beliau sentiasa cuba mendapatkan Nik
Faisal dan kemudian kepada Jho Low jika berlaku 'overdrawn' terhadap
akaun Najib, terutama apabila cek telah dikeluarkan.
11 pagi: Bekas
pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah
bahawa sejumlah AS$ 130,625.11 (RM466,330) telah dicajkan ke atas salah
satu daripada akaun kad kredit Najib Razak bagi pembelian di kedai
fesyen eksklusif Chanel di Honolulu.
Dalam keterangannya beliau berkata caj itu dikenakan pada 22 Dis 2014 pada kad Visa Platinum Najib dengan nombor akhir 5496.
Joanna
juga berkata beliau menerima mesej Blackberry Messenger dari ahli
perniagaan Low Taek Jho pada jam 2.10 petang (waktu Malaysia) pada 23
Disember 2014 yang bertanya jika sistem bank adalah ok untuk mengenakan
caj AS$ 100,000 dalam satu pembelian.
Sambil membacakan transkrip
mesej chat berkenaan, Joanna berkata Jho Low telah memanjangkan mesej
teks yang dikatakan daripada Najib.
Beliau
berkata Jho Low memberitahunya bahawa ia perkara mustahak dan Najib
berada di Hawaii, dan beliau mahu mengenakan caj AS$ 100,000 ke atas
kadnya.
Joanna berkata beliau kemudian berhubung dengan jabatan
kad kredit bank berkenaan yang kemudian mengesahkan bahawa urus niaga
itu telah ditunaikan.
Sithambaram: Apabila kamu menerima
mesej seperti ini dari Jho Low, yang memanjangkan mesej yang dikatakan
dari bekas PM, adakah kamu mempunyai sebab untuk mengesyaki mesej ini
pada masa itu?
Joanna: Tidak. Saya menganggap ia adalah dari Datuk Seri Najib. Itu sebab mengapa kami periksa kad kredit itu jika ia aktif.
Jho Low selesaikan sebarang isu akaun terlebih keluar: Joanna Yu
10.54
pagi: Joanna Yu dalam keterangannya berkata Jho Low adalah individu
yang menyelesaikan sebarang isu berkaitan akaun terlebih keluar
(overdrawn) bagi akaun Najib di Ambank.
Bekas Pengurus Perhubungan
AmBank itu memberitahu keadaan itu berlaku apabila beliau tidak dapat
menghubungi pemegang amanah bagi akaun berkenaan, Nik Faisal Ariff
Kamil.
"Dia (Jho Low) menangani isu akaun terlebih keluar dan memastikan cek ditunaikan," katanya.
Beliau
menambah Jho Low boleh melakukan perkara itu walaupun ahli perniagaan
sendiri tidak pernah menjadi pemegang mandat rasmi ke atas akaun Najib
di AmBank .
"Pada
keadaan tertentu, saya beritahu dia (Jho Low) kerana saya tidak boleh
menghubungi Nik, beliau (Jho Low) akan kata" Okay ", maka seseorang akan
masukkan dalam deposit tunai (dalam akaun terlebih keluar Najib), atau
dia ( Jho Low) akan memberitahu Nik agar menghubungi saya.
"Dia (Jho Low) mampu menangani keadaan akaun terlebih keluar," kata Yu berkenaan akaun bank semasa Najib dengan AmBank.
Joanna Yu: Saya kadangkala hubungi Jho Low berkenaan akaun Najib
10.30 pagi -
Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata beliau
kadangkala akan menghubungi ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih
dikenali sebagai Jho Low, berhubung arahan mengenai akaun bank Najib
Razak.
Dalam keterangannya beliau berkata keadaan itu berlaku
apabila beliau tidak dapat menghubungi orang yang diberi kuasa, Nik
Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun, semasa pemeriksaan utama oleh
DPP V Sithambaram, Joanna berkata, beliau hanya menerima arahan
bertulis, yang kemudian dipanjangkan kepada cawangan bank dari Nik
Faisal kerana dia adalah orang yang diamanahkan untuk akaun tersebut.
Nik Faisal tidak mempunyai akses kepada akaun Najib
10.20 pagi
- Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu
mahkamah bahawa hanya Najib dibenarkan mengeluarkan cek daripada akaun
semasanya.
Dalam keterangannya beliau berkata Nik Faisal Arif
Kamil, yang diberi mandat atas akaun Najib, tidak dapat mengeluarkan
cek bagi pihak bekas perdana menteri itu.
Yu berkata Nik Faisal juga tidak dapat mengeluarkan atau mengambil wang daripada akaun Najib.
Saya tiada akses langsung kepada akaun AmBank Najib - Joanna Yu
10.15 pagi
- Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata beliau
tidak mempunyai akses langsung kepada akaun bekas perdana menteri, Najib
Razak.
Semasa pemeriksaan utama oleh DPP V Sithambaram, saksi
ke-54 itu mengatakan beliau tidak memiliki akses itu selaku pengurus
perhubungan, dan beliau hanya bertindak sebagai penghubung.
Sithambaram: Bolehkah kamu mengakses akaun pelanggan Najib dari terminal komputer kamu?
Joanna: Tidak,
kami (pengurus perhubungan) perlu menghubungi cawangan (cawangan Jalan
Raja Chulan di mana akaun semasa dan simpanan Najib dibuka). Ia adalah
keistimewaan pelanggan.
Ambank ambil kira kedudukan Najib
10 pagi
- Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu
mahkamah bahawa bank itu tidak mengenepikan cek yang dikeluarkan oleh
Najib walaupun akaun terlebih keluar (overdrawn).
Ketika
memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa, beliau
mengatakan ini disebabkan status dan kedudukan Najib ketika itu sebagai
perdana menteri dan menteri kewangan.
Beliau menambah bank itu
akan menghubunginya dan beliau kemudian akan menghubungi Nik Faisal
Ariff Kamil, yang merupakan pemegang mandat untuk akaun Najib, untuk
memaklumkan kepadanya untuk segera memperbetulkan akaun 'overdrawn'
berkenaan.
'Jho Low hubungi saya mengenai pembukaan akaun bank Najib'
9.34 pagi:
Saksi ke-54 yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu
mengatakan ahli perniagaan Jho Low menghubungi beliau pada awal tahun
2011 berkenaan pembukaan akaun bank semasa dan simpanan Najib Razak di
AmBank.
Beliau memberitahu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Budiman
Lutfi Mohamed semasa pemeriksaan utama bahawa Jho Low juga bertanya
adakah kemungkinan Pengarah Urusan Ambank Cheah Tek Kuang secara
peribadi menemui Najib untuk memudahkan pembukaan akaun.
9.27 pagi:
Saksi ke-54 yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging
Ping mengambil tempat bagi memberi keterangan dalam pemeriksaan utama.
Difahamkan
pendengaran permohonan pihak pendakwaan agar Najib memohon maaf
berkaitan hantaran Facebook mengenai perbelanjaan kad kredit sebanyak
RM3.36 juta akan dilakukan lewat hari ini.
9.26 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memasuki mahkamah.
9 pagi: TertuduhNajib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.
Juga kelihatan Peguam Negara Tommy Thomas dan barisan pihak pendakwaan, serta pasukan peguam bela bekas perdana menteri itu.
Apakah
Najib Razak perlu membuat permohonan maaf secara penuh dan tanpa syarat
ke atas hantaran Facebooknya mengenai RM3.36 juta perbelanjaan kad
kredit yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu?
Ini
adalah isu yang akan dibahaskan pihak pendakwaan dan pembelaan pada
hari ke-41 perbicaraan terhadap bekas perdana menteri atas dakwaan
salahguna dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Perbicaraan akan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.
Pada
18 Julai, Nazlan memberi amaran kepada Najib untuk menahan diri
daripada membuat hantaran di media sosial yang boleh menghina mahkamah.
Ini
susulan hantaran Facebook beliau pada 16 Julai yang mempertahankan
perbelanjaan untuk membeli hadiah bagi raja dari negara lain pada 2014.
Amaran
hakim bertujuan mengekalkan status quo sementara menunggu pendengaran
bagi pihak pendakwaan menuntut permohonan maaf daripada Najib pada jam 9
pagi ini.
Hakim sebelum ini berkata pendengaran ringkas ini tidak akan melebihi satu jam sebelum perbicaraan utama diteruskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan