BANTING – Polis sedang giat mengesan enam individu
bertopeng yang bersenjatakan parang dalam satu kejadian samun di sebuah
rumah di Bandar Saujana Putra di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman
berkata, siasatan awal menunjukkan kesemua mereka menaiki sebuah
kenderaan sebelum berhenti di luar rumah mangsa dalam kejadian kira-kira
9.41 malam.
Beliau berkata, tiga daripada suspek tersebut dipercayai
memanjat tembok rumah tersebut sebelum memasuki ruang tamu kediaman
berkenaan.
“Ketika kejadian lapan penghuni rumah yang berusia 12
hingga 70 tahun tersebut sedang berehat di ruang tamu dan ruang makan
rumah terbabit.
“Suspek yang masuk ke rumah mangsa telah bertindak mengikat
tujuh penghuni rumah di dalam bilik bawah (rumah), manakala seorang
mangsa wanita telah dibawa ke bilik atas dan merampas barangan berharga
termasuk barang kemas bernilai RM30,000 sebelum melarikan diri,” katanya
hari ini.
Katanya, kesemua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Tambah Azizan, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan cap jari berikutan kesemua suspek memakai sarung tangan.
“Polis meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai
maklumat berhubung kejadian tersebut supaya menghubungi pihak polis
untuk membantu siasatan,” katanya.
Kejadian jenayah yang dirakam menerusi kamera litar
tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah berkenaan turut tular di media
sosial sejak pagi tadi. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan