Bekas Yang Dipertua Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih), Puan Sri Dr. Aishah Salleh berkata, peranan mereka untuk menarik kembali sokongan rakyat masih diperlukan sepanjang masa walau parti dalam keadaan kalah.
“Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku,” katanya dalam majlis ramah mesra ahli Kasih di sini semalam.
Beliau yang merupakan isteri Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menyerahkan tugas kepada Yang Dipertua baharu, Datin Sohadah Ramli, yang merupakan isteri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Dahalan.
Aishah mengingatkan ahli Kasih agar jangan lari daripada pejuangan kerana UMNO dan BN masih relevan, malah semakin kuat dengan termeterainya kerjasama parti itu dengan Pas.
“Diharap ahli Kasih setia dengan parti, jangan kita melarikan diri dari parti kita, walau apapun tohmahan dari pihak musuh, saya percaya UMNO adalah parti yang masih relevan untuk perjuangan orang Melayu.
“Semangat juang dan cintakan parti ini perlulah ada dalam diri ahli Kasih untuk terus berusaha dan tidak menyerah kalah,” katanya.
Beliau menyatakan, besarlah harapannya agar Kasih dapat meneruskan perjuangan itu di bawah ketua baharu dan mengajak berganding bahu untuk terus langkah yang telah diatur.
“Kerana di bahu kita menggunung tugas, tanggungjawab dan kewajipan. Marilah srikandi semua, kita sucikan nawaitu dan bertakwa dengan penuh keprihatinan. Marilah kita bersatu dan bekerjasama semoga usaha murni kita dirahmati Allah,” katanya.
Aishah turut menyatakan, kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu adalah satu hikmah.
“Kalau kita tidak kalah, kita tidak akan bersatu. Sekarang ini semua pemimpin Melayu yang beragama Islam telah masing-masing sedar dan berganding bahu untuk memimpin umat Melayu dan Malaysia ini sepenuhnya.
“Saya percaya PRU-!5 akan datang, kita akan mencapai kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan