HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2019

Mahkamah tetapkan pengurusan kes lucut harta Umno JB pada 4 Sept


   

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 4 September ini sebagai tarikh pengurusan kes dan perwartaan berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta disita daripada Umno Johor yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Ia bagi membolehkan pendakwa raya mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap wang terbabit untuk tampil di Mahkamah Tinggi dan menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

“Mahkamah menetapkan 4 September bagi pengurusan kes dan tarikh merwartakan notis untuk memanggil pihak ketiga (yang berkepentingan keatas wang milik 1MDB) dan perbicaraan kes tersebut pada 4 Oktober ini,” kata Timbalan Pendakwaraya Nik Haslini Hashim.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 dari badan perhubungan Umno Johor.

Umno Johor diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali.

Sementara itu di kamar yang sama, Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 Ogos bagi Parti Demokrasi Liberal Sabah LDP untuk memfailkan afidavit balasan berkaitan permohonan untuk melucutkan harta yang dirampas daripada pihak tersebut.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM509,560.96 dari LDP Sabah.

Wang berkenaan adalah sebahagian harta disita SPRM tahun lalu, kerana ia berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Rampasan harta terbabit dibuat mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.


Tiada ulasan: