HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2019

Kerajaan negeri tunggu laporan polis sebelum hukum pencemar Sungai Selangor

Pencemaran diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor 
Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang yang berpunca daripada 
aktiviti mengorek pasir di hulu sungai pada 21 Julai lalu.
 
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang menunggu polis melengkapkan siasatan sebelum mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuai dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor sehingga menyebabkan 4 loji rawatan air utama di Lembah Klang terpaksa ditutup baru-baru ini.

“Kita sedang tunggu laporan lengkap polis dan bila laporan itu sampai kepada saya, kita akan ambil tindakan kepada syarikat yang terlibat dalam kecuaian tersebut,” kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pengesahan polis pada Isnin lalu, tiada unsur sabotaj dalam kes pencemaran diesel di Sungai Selangor.

Sebaliknya, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, siasatan mendapati pencemaran itu berpunca daripada kecuaian pekerja syarikat dilantik kerajaan negeri untuk membersihkan sungai itu.

Katanya, polis akan menyiasat laporan palsu untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu dan beliau menjangkakan siasatan akan selesai dalam masa terdekat.

Hari ini, Amirudin berkata, pihaknya membuat andaian mengenai kewujudan unsur sabotaj sebelum ini berdasarkan pandangan mata kasar di tempat kejadian.

“Pemandangan mata kasar saya kelihatan seperti ada (sabotaj) dan saya serah kepada pihak polis sebab polis sudah pasti mempunyai kaedah tertentu untuk mengenal pasti puncanya.”

Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa ditutup pada petang Ahad 21 Julai lalu akibat pencemaran diesel yang berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai.

Keesokannya, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata siasatan polis mengesahkan wujud unsur sabotaj dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan 4 LRA itu.

Susulan itu, polis menahan pengusaha pontun dan pekerjanya berusia awal 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan punca pencemaran diesel di Sungai Selangor ditahan pada 24 Julai lalu.

Seorang daripadanya dibebaskan dengan jaminan polis, manakala reman 4 hari seorang lagi individu dilanjutkan, selepas ia tamat pada 29 Julai lalu.

Ini adalah insiden ke-2 selepas pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor pada 19 Julai lalu.

Tiada ulasan: