Sekumpulan anggota PKR meminta Lembaga
Disiplin parti mengambil tindakan disiplin ke atas setiausaha politik
Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Mubarak.
Ini selepas
mereka tidak berpuas hati dengan laungan 'Azmin semburit' yang dibuat
sejurus selepas beliau dibebaskan daripada tahanan reman semalam.
Bekas
Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K Gunasekaran yang membuat
laporan itu berkata, tindakan perlu diambil ke atas Farhash sebagai
pengajaran kepada akar umbi lain supaya menghormati kepemimpinan dan
parti.
“Jadi kita menyeru presiden biro politik, lembaga
disiplin, ambil tindakan untuk menunjukan bahawa parti ini berdisiplin,
ahli-ahli termasuk pimpinan yang dilantik oleh presiden juga harus
berdisiplin menghormati bukan saja presiden kepada timbalan yang dipilih
akar umbi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR.
Laporan
itu diserahkan kepada Sekretariat Lembaga Disiplin PKR, Julailey Jemadi
yang turun bertemu kira-kira sepuluh ahli PKR yang hadir bersama
Gunasekaran.
Siasatan ambil masa 90 hari
Pada
masa sama, Julailey turut memaklumkan kepada Gunasekaran bahawa
siasatan dan tindakan boleh diambil dalam masa selewat-lewatnya 90 hari.
Semalam, Farhash yang dibebaskan daripada tahanan polis mengakhiri ucapan kepada sekumpulan penyokongnya dengan laungan "Azmin semburit", selepas laungan "Reformasi” dan “Anwar for PM”.
Beliau
ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung video yang
dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bersama
bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq.
Ketika
berucap selepas pembebasannya kira-kira jam 3.50 petang itu, Farhash
urut mempertikaikan kredibiliti Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador
kerana tidak mengambil tindakan terhadap Azmin sedangkan dia pula
ditahan reman.
Haziq yang direman dua hari sebelum Farhash turut dibebaskan semalam.
Desak Farhash dipecat
Sementara
itu, Naib Ketua Cabang Ampang, D Nallan, yang turut menemani
Gunasekaran, mendesak agar Farhash dipecat kerana bukti yang terang
menunjukkan pembantu Anwar itu melaungkan ungkapan berkenaan.
“[...] Media semua dah ada (rakaman). Pecat saja, tak payah tunggu.
“Kalau
tak ada bukti, tak apalah. Siasatlah, nak 90 hari ke, 180 hari ke,
setahun pun tak apa. Tapi bila dah timbalan presiden disebut macam tu,
(sedangkan) beliau dah memimpin parti selama 20 tahun, tak sepatutnya
ayat tu digunakan depan awam,” katanya kepada pemberita.
Beliau
berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita tentang tindakan yang
dirasakan paling wajar diambil lembaga disiplin terhadap Farhash.
Setakat ini, seramai 11 orang ditahan bagi membantu siasatan.
Bulan lalu, beberapa siri video seks diedarkan kepada ahli politik dan wartawan oleh individu tidak dikenali.
Selepas itu, Haziq mengakui beliau salah seorang daripada dua lelaki yang melakukan hubungan sejenis dalam video berkenaan.
Beliau mendakwa pasangannya adalah Azmin yang juga timbalan presiden PKR.
Azmin
bagaimanapun menafikan pembabitannya dan menyifatkan video itu sebagai
fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan