HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Julai 2019

Salah faham tentang ‘babi’ dikatakan punca guru diserang

MALAYSIAKINI

   

Insiden seorang penjaga pelajar, menyerang guru di sebuah sekolah di Bachok, Kelantan yang tular kelmarin dikatakan berlaku gara-gara salah faham mengenai perkataan "babi".

Menurut maklumat individu yang enggan dikenali, kejadian berlaku apabila guru berkenaan menelefon isteri penyerang bagi memaklumkan cerita sebenar mengenai anak saudaranya yang digantung sekolah.

"Anak saudaranya tidak memaklumkan kepada penjaga yang dia digantung sekolah. Mengikut prosedur selepas digantung sekolah, pelajar berkenaan perlu datang bersama ibu bapa atau penjaga.
 
"Dalam perbualan telefon antara cikgu dengan isteri penyerang, cikgu berkenaan ada mengeluarkan perkataan 'babi'.

"Jadi, di situ berlaku salah faham, penyerang ingatkan cikgu terbabit memaki isterinya dan akhirnya membawa kepada pergaduhan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, polis Kelantan menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menyerang seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bachok, Sabtu lalu.

Suspek, masing-masing berusia 30 dan 42 tahun, yang juga adik-beradik itu ditahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bachok pada pukul 5.15 petang

"Mereka (suspek) datang ke IPD Bachok dan tangkapan dibuat berkait siasatan kes yang berlaku di SMK Sri Gunong, Bachok.

"Kedua-duanya akan dipohon tahanan reman pada 23 Julai 2019 (esok) bagi membantu siasatan kes ini," kata Ketua Polis Daerah Bachok Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi.

Sebelum itu tular video berdurasi tiga minit 31 saat berkenaan kejadian di media sosial sejak kelmarin.

Rakaman itu memaparkan seorang lelaki yang memarahi seorang guru lelaki yang didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada isterinya.

Sementara itu, penyerang yang menyangkakan isterinya dimaki bertindak menyerang guru berkenaan bersama seorang lagi lelaki yang juga abang di sekolah terbabit.

Difahamkan, selepas menyedari yang salah faham berlaku, penyerang telah memohon maaf dengan guru berkenaan dan mahu menyelesaikan perkara itu secara baik.


Tiada ulasan: