Kebenaran memberi rumah kepada peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang berada dalam senarai hitam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS) - jika dimanfaatkan - mampu menjadi cara melangsaikan hutang pengajian itu dengan lebih cepat.
Demikian pandangan pengasas kakiproperty.com, Mohd Najib Mohamed, yang berasakan pengumuman kerajaan mampu dimanfaatkan untuk menjana keuntungan modal oleh golongan muda yang dibelenggu hutang PTPTN.
“Kalau ini (pengumuman) berlaku, ia boleh menjadi alat untuk peminjam melangsaikan hutang PTPTN dengan lebih cepat, [...] boleh beli rumah.
"Dari rumah tu, dia boleh menjana aliran tunai, ada keuntungan modal,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Strategi itu, kata Najib, boleh dicontohi oleh peminjam PTPTN yang kini disenarai hitam CCRIS.
“Apabila keuntungan modal itu sudah ada, dia boleh langsaikan hutang PTPTN sekali gus, dan saya tahu ramai anak muda sekarang buat cara macam tu.
"Dia boleh selesaikan hutang RM30,000 ke RM40,000 dalam tempoh selama tiga ke empat tahun.
“Jadi, dia gunakan aset yang dia beli itu untuk melangsaikan hutang PTPTN,” katanya lagi.
Terserah kepada bank
Bagaimanapun, akui Najib, cara itu masih tidak diketahui secara meluas berikutan literasi kewangan yang masih rendah dalam kalangan golongan muda.
Justeru, dia mencadangkan ilmu berkenaan literasi kewangan perlu diterapkan dalam golongan muda
“Literasi kewangan itu mesti ada. Kemahiran kewangan itu kita perlu pupuk sejak di universiti lagi, ajarkan bagaimana nak langsaikan hutang PTPTN.
"Itu paling penting, sebab itulah pinjaman yang dipegang awal-awal sekali (selepas habis belajar),” katanya lagi.
Kenyataan itu mengundang persoalan tentang kaedah yang akan dilaksanakan kerajaan bagi merealisasikannya.
Baru-baru ini Zuraida menjelaskan satu mekanisme sesuai akan diperkenalkan untuk mendisiplinkan pembayaran kewangan oleh peminjam PTPTN disenarai hitam itu atas pinjaman perumahan mereka nanti.
Kata
Zuraida, kredibiliti golongan belia terutama dalam kalangan peminjam
PTPTN masih ada ketika mereka memasuki pekerjaan pertama walaupun mereka
tidak pernah membayarnya sebelum ini.
Mengulas mengenai kemungkinan berlakunya kes mengambil kesempatan dalam kalangan peminjam yang culas membayar pinjaman pelajaran tersebut atas kelonggaran yang diumumkan, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif hartabumi.com, Radzi Tajuddin, tidak melihat ia akan berlaku.
Katanya, mekanisme penilaian risiko yang dilaksanakan oleh bank sangat komprehensif dan mengambil kira banyak perkara selain pinjaman PTPTN semata-mata.
“Bank akan tetap menilai perkara sama. (Mekanisme baru) Ini akan membantu mereka yang memang nak memulihkan rekod PTPTN, tapi tak akan membantu mereka yang tak sepatutnya, yang culas dan yang memang tak mahu bayar PTPTN.
"Itu takkan berlaku, atau sangat-sangat tipis kemungkinan untuk berlaku,” ulasnya.
Lama nak bersihkan rekod CCRIS
“Kriteria yang dilihat termasuk tabiat perbelanjaan, semua sekali, kalau sedikit pun tercalar, bank akan ambil tindakan langkah berjaga-jaga, mungkin dia tak mahu ini (culas membayar hutang) terjadi kepada pinjaman yang mereka berikan pula,” katanya.
Bagaimanapun, buat Najib dan Radzi, kedua-duanya menyambut baik pengumuman Zuraida, yang menurut mereka mampu mengatasi masalah dihadapi peminjam yang disebabkan oleh kelemahan melibatkan sistem CCRIS.
“Jika seseorang meminjam PTPTN semasa diploma, kemudian minta penangguhan untuk sambung ijazah sarjana muda, walaupun dia sambung belajar, masih dikira dia tidak bayar (dalam CCRIS).
“Jadi, katalah penangguhan dua tahun, dalam CCRIS (tak bayar) sudah 24 bulan. Kes begini, mereka terperangkap sikitlah,” kata Najib.
Bagi Radzi pula, pembersihan rekod dalam CCRIS yang memakan masa terlalu lama menimbulkan masalah buat pemohon pinjaman perumahan, biarpun mereka telah melakukan penstrukturan semula pembayaran balik atau membuat pembayaran.
“Jika rekod dalam imigresen dahulu (larangan ke luar negara), apabila kamu bayar di kaunter, rekod kamu terus dibersihkan dan kamu boleh terbang.
“Apabila peminjam (PTPTN) nak beli rumah, dia akan buat penstrukturan semula bayaran PTPTN, atau dia akan bayar pembayaran minimum. Tapi setelah itu dan memohon pinjaman perumahan, masih lagi bermasalah. Rekod di CCRIS masih lagi ada.
“Dari pengamatan saya, apa yang dibangkitkan Zuraida, beliau cuba tangani masalah tersebut. Itu yang saya nampak. Bagi saya benda itu bagus,” katanya lagi.
Zuraida menjelaskan, pengecualian untuk pembelian rumah bagi peminjam PTPTN disenarai hitam itu akan dimasukkan di bawah Skim Perumahan Belia.
Jelasnya lagi, butiran mengenai pengecualian tersebut akan diumumkan Oktober depan dalam satu majlis bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan