HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Julai 2019

Pendirian Pas-UMNO seiring pandangan saya – Azmin

Wartawan MalaysiaGazette
MGF18102018_PARLIMEN-RMK11_24
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan pendirian Pas dan UMNO yang menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga berakhir penggal. - foto hiasan
 

KUALA LUMPUR – Dukungan bipartisan terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia, yang mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sokongan tersebut juga bukti keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyambut baik pendirian UMNO dan Pas untuk memberi dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal.

Azmin berkata, pendirian UMNO dan Pas itu seiring dengan pandangan beliau supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

“Mandat rakyat yang diterima oleh Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah-langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

“Kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: