HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Julai 2019

Batalkan projek tambak laut

ainulillia 

 

DAP Pulau Pinang kena buang sikap angkuh mahu teruskan projek

BANGI– Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah sewajarnya membatalkan rancangan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), berikutan mendapat bantahan pelbagai pihak, kata Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei A Rashid.

Malah, beliau berkata, terbaru, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penolakan terhadap projek berkenaan.

“Ternyata Nurul tampil profesional selaku wakil rakyat dan pemimpin muda yang kelihatan secara umum cenderung mewakili tanggungjawab yang dipikul. 

“Malah, hal tersebut dikarismakan dari hujahnya yang cermat bersama unjuran, teladan, nasihat, peringatan dan penghargaan dikemukakan di hantaran Facebook beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Nurul Izzah melahirkan keyakinan masih belum terlambat untuk projek PSR digantikan dengan inisiatif yang lebih baik.

Ahli Parlimen PKR dalam hantaran di Facebooknya berkata, Malaysia tidak perlu mengikut jejak langkah negara yang giat dengan aktiviti penambakan seperti Hong Kong atau Dubai yang akhirnya membawa kepada kemusnahan atau kesusahan pada keseluruhannya.

Justeru, Ahmad Rafair berkata, perkara terpenting mesti dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang adalah mengecilkan skala keangkuhan dan kedegilan untuk meneruskan projek mega tersebut. 

“Jika tidak, sepertimana dikatakan oleh Nurul Izzah, ia akhirnya akan membawa kepada kemusnahan atau kesusahan pada keseluruhannya.

“Namun, jika Ketua Menteri, Chow Kon Yeow merasakan rakyat dan banyak pihak menyokong projek itu, silalah gerakkan penerangan dan dialog. 

“Turun padang secara ‘Cekap, Akauntabiliti dan Telus’ membentangkan segalanya itu jika ia benar-benar pembangunan ‘harapan’ dan masa depan untuk rakyat dan negeri ini,” katanya.

Pun begitu, beliau berkata, pada hakikatnya, sehingga kini projek PSR itu gagal meraih kemajuan dari sudut sokongan mana-mana pihak, kecuali mereka yang jelas berkepentingan dan bermotif sahaja. 

Bahkan, katanya, PSR juga gagal untuk memperolehi kelulusan muktamad dari Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perancangan Fizikal Negara.

Bukan itu sahaja, kerajaan negeri dan pihak pemaju juga seperti teraba-raba apabila cuba mendapatkan ‘tongkat sakti’ sokongan politik bagi memperoleh kelulusan dan pembiayaan kewangan, kata Ahmad Rafaie.

“PAS sejak awal konsisten menolak PSR demi kepentingan semua dan mengalu-alukan kebersamaan pelbagai pihak termasuk dari lawan dan saingan politik. 

“Kami menggesa, mana-mana pihak berkepentingan dari kerajaan, pemaju, kontraktor dan politikus yang tetap mahu menyokong projek ini agar menilai semula. Anda hanya dilihat memperalat kedudukan dan kuasa demi mengejar kepentingan yang sempit lagi kabur, menindas dan menzalimi rakyat sendiri,” katanya.


Tiada ulasan: