KITA dikejutkan sekali lagi dengan berita kemungkinan berlakunya pusingan kedua pencemaran udara akibat toksik industri di Pasir Gudang.
Saban hari ketika itu, berita-berita mengenai
pelajar dan kakitangan yang terlibat dimuatkan untuk makluman serta
diolah dalam keadaan yang begitu sensasi.
Demikian
juga lontaran-lontaran idea ilmiah atau pandangan cendekiawan, memberi
saranan berkaitan sebagai penambahbaikan dalam mengatasi isu tersebut
dalam kadar segera.
Sudah pasti, isu
melibatkan komuniti dan kesihatan umum menarik minat setiap individu
dalam masyarakat terutama mereka yang terlibat dalam urusan pentadbiran,
penyelidikan-penyelidikan mahupun mereka yang berada di barisan hadapan
dalam perkhidmatan jagaan kesihatan.
Dalam
menganalisis berita semasa dan juga makluman-makluman pihak berkuasa,
dari segi corak epidemiologi (atau disebut taburan penyakit yang
berkaitan pencemaran toksik industri) terdapat penemuan pola taburan kes
yang pada pandangan saya tidak munasabah.
Kes-kes
yang menunjukkan gejala klinikal hanya dilaporkan berlaku dalam
kalangan komuniti yang berada di sekolah. Namun dalam komuniti di luar
sekolah, ia tidak pula dilaporkan. Ia mungkin ada namun kita percaya
sekiranya sumber isu kesihatan tersebut berpunca dari udara, ia sudah
pasti memberi implikasi pada masyarakat yang bukan sahaja berada di
kawasan sekolah tetapi juga mereka yang berkongsi udara yang sama di
luar sekolah.
Sebagai individu yang pernah
terlibat di balik tabir dalam agensi kerajaan untuk kawalan penyakit,
saya sedia maklum bahawa agensi-agensi berkenaan sudah pasti bertindak
menurut SOP masing-masing untuk mengekang perebakan.
Dalam
isu melibatkan masyarakat sedemikian, sudah pasti bilik gerakan akan
segera beroperasi dalam tempoh 24 jam serta saluran bertindak mereka
yang terlibat dikerah dalam memastikan tiada kesan tidak diingini
berlaku.
Namun seperti biasa tindakan
patriotik agensi-agensi terlibat tidak dihebahkan secara ‘tular’, cukup
dengan hebahan kepada umum bahawa tindakan yang sewajarnya telah dan
sedang diambil pada ketika itu.
Golongan
doktor profesional dalam kesihatan awam terutamanya memahami bahawa
menangani isu yang melibatkan masyarakat perlu ditangani dengan bijak
serta mengutamakan saluran maklumat disampaikan dengan tepat dan benar
tanpa campur aduk unsur sensasi serta mencari ruang menyalahkan
pihak-pihak tertentu. Susulan tindakan tersebut, agensi-agensi kerajaan
terlibat berkali-kali memaklumkan bahawa isu di Pasir Gudang tiada kena
mengena dengan bahan toksik industri seperti yang pernah berlaku sebelum
ini.
Meskipun terdapat makluman kedudukan
industri di Pasir Gudang yang memerlukan penambahbaikan, pengesanan
indeks pencemar udara tidak menemukan sebarang hasil yang positif.
Namun
kebolehcapaian platform media di mana semua individu termasuk yang
bukan pakar bidang berpeluang menyampaikan pandangan, menyebabkan
tularnya berita yang mengaitkan kejadian kes myokimia ke atas seorang
kanak-kanak serta kematian seorang wanita yang berlaku ketika itu
dihebohkan akibat pencemaran toksik industri di situ.
Sehinggalah
tulisan pandangan Prof. Dr Hamidon Basri, Pakar Neurologi UPM
menjelaskan bahawa myokimia merupakan gejala tidak spesifik. Ia berlaku
akibat tekanan (stres) dan pulih jika keadaan tersebut dirawat. Demikian
juga penafian pihak keluarga yang kematian akibat anggota keluarga,
berita tular sedemikian reda.
Kita semua
akhirnya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar psikiatri bahawa apa
yang berlaku di Pasir Gudang adalah manifestasi psikologi akibat
kebimbangan kemungkinan berulangnya episod.
Tekanan mendapatkan maklumat
terkini oleh media, kegopohan sebahagian ahli akademik melontarkan
pandangan yang masih belum terbukti benar, ‘trend’ sebahagian masyarakat
menularkan isu yang dikaitkan dengan pencemaran toksik meskipun ianya
tiada bukti saintifik menyebabkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan
dalam tempoh yang lebih singkat, berpanjangan dengan kegelisahan yang
tidak menentu.
Apa pun, kembalikanlah
peranan pakar di tempatnya. Jangan pula kita terus memandai membuat
telahan dan berkongsi untuk menularkan isu yang tidak benar.
*PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN
ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Fakulti
Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan