HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 September 2019

Allah Uji Kerana Dia Sayang Kepada Kita


1) Modus operandi kami parti AMANAH merekrut keahlian baru adalah dengan cara menampaikan bantuan kepada fakir miskin, ibu tunggal, orang sakit dan seumpamanya. Maklumat mengenai fakir mskin dan ibu tunggal sentiasa di-update dari cawangan ke cawangan.

2) Hatta kami pernah merekrut beberapa orang ahli muslimat PAS beberapa kampung apabila kami dapat tahu mereka adalah ibu tunggal yang memerlukan bantuan. Lebih-lebih lagi kami tahu, mereka sudah lama tidak ikut program parti dan usrah PAS.

3) Setiap kali misi kami menghulur bantuan kepada golongan sasaran tersebut, tidak ketinggalan, kami akan hulurkan borang keahlian parti untuk diisi. Sedikit buah tangan sebagai cenderamata daftar keahlian turut kami berikan.

4) Alkisahnya suatu hari, kami dapat berita seorang veteran PAS di satu kawasan di Kedah - sedang menderita sakit komplikasi kencing manis, darah tinggi dan tulang pehanya pecah. Kami mengambil peluang menziarahinya, walaupun kami tahu dia agak tegas terhadap parti berwarna oren.

5) Kehadiran kami disambut dengan baik, walaupun beliau terpaksa bertongkat akibat tulang pehanya pecah. Beliau telah mendapat rawatan dan pembedahan di hospital beberapa minggu lalu. Doktor menasihatinya supaya kurangkan berjalan supaya tidak terlalu memberi tekanan pada tulang yang dipasang besi tersebut.

6) Atas adab melayan tetamu, beliau menggagahi dirinya berjalan sambil menggunakan tongkat dan duduk melayan kami yang datang menziarahinya. Dia hanya kenal dua orang sahaja daripada kami berenam.

7) Sambil berbual, dia tetap tersenyum lebar menceritakan perihal penyakitnya. Tiada tanda-tanda beliau kecewa atau mahu merungut. Bahkan beliau kata beliau bersyukur diberi sakit ini, merujuk kepada tulang pehanya yang pecah tersebut.

8 ) Beliau berkisah mengenai sakit beliau kencing manis dan darah tinggi. Ketika itu beliau masih boleh berjalan dengan baik. Saat mengetahui tahap diabetes dan darah tinggi beliau amat kritikal lebih kurang lima tahun lepas, beliau sangat marah dan tidak berpuas hati dengan takdir yang menimpanya.

9) Beliau memberitahu, beliau sering merungut, kenapa aku ditimpa penyakit seteruk ini sedangkan aku banyak habiskan wang ringgit, masa dan tenaga untuk perjuangan Islam. Rungutan demi rungutannya itu tidak disenangi anak-anaknya yang lepasan universiti Timur Tengah.

10) Lalu anak-anaknya membawa beliau berjaulah ke Kelantan, bertemu TG Nik Aziz, yang masih ada waktu itu, keuzuran. TG Nik Aziz menderita sakit prostat dalam tempoh yang agak lama. Merujuk kepada TG Nik Aziz yang uzur sakit itu, beliau berkata, anak-anaknya pernah bertanya kepadanya, antara TG Nik Aziz dan abah, abah rasa siapa lebih baik iman, amal dan perjuangannya?

11) Lalu beliau menjawab kepada anak-anaknya, bahawa antara beliau dan TG Nik Aziz, tentulah iman dan amalnya jauh langit dan bumi berbanding TG Nik Aziz. Lalu anak-anaknya melontarkan satu persoalan, jika demikian, kenapa TG Nik Aziz juga sakit teruk? Persoalan itu membuatkannya berfikir panjang.

12) Setelah pulang ke kampung halamannya, beliau tidak berpuas hati dengan persoalan-persoalan yang menerjah fikirannya. Kenapa TG Nik Aziz yang sangat bagus itu sakit teruk? Kenapa aku yang banyak habiskan wang ringgit dan tenaga kepada jemaah Islam, ditimpa sakit teruk?

13) Lalu beliau pergi menziarahi (almarhum) Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah waktu itu. Beliau menyampaikan rasa keluh-kesah dan ketidak-puasan hati beliau kepada almarhum. Almarhum menjawab, sebenarnya Allah bagi kita sakit sebab Allah nak bagi kita masuk syurga.

14) Tersentak dengan jawapan ringkas almarhum tersebut beliau terus diam dan menanti kalam seterusnya Ketua DUP Kedah tersebut. Kita diuji dengan sakit, sebenarnya amalan kita selama ini tak cukup untuk masuk syurga. Lalu Allah takdirkan kepada kita sakit supaya kita sabar dan redha dengan takdir Allah. Dengan sakit itu Allah ampun doa kita dan tingkatkan darjat kita.

15) Beliau kata, beliau terus rasa bagaikan ditegur oleh Allah yang merasakan selama ini beliau telah seperti berpuas hati dengan amalam dan perjuangannya. Beliau pulang ke rumah dengan hati yang tenang dan sampai hari ini, apabila datang penyakit baru yakni tulang peha pecah pun beliau tidak lagi merungut. Malahan tanpa dibuat-buat, beliau rasa tenang dan bersyukur.

16) Kami dilayan dengan jamuan ringan yang disediakan isterinya. Sambil bertanya masing-masing (yang dia tak kenal) datang dari mana, sudah lamakan join AMANAH, dan beberapa soalan lagi. Saya hanya tersenyum tidak memberikan apa-apa jawapan. Kemudian dia turut berpesan, samada kamu AMANAH atau PAS, jangan lupa tarbiyah diri supaya kenali perjuangan, kenali dan kasihi alim ulamak, jangan rasa ujub dengan diri sendiri. Kamu masih muda yang banyak lagi kena belajar.

17) Kami yang hadir menziarahi beliau turut berasa insaf dan bermuhasabah. Perlahan-lahan ketua rombongan kami menyembunyikan sampul borang keahlian AMANAH ke belakang supaya tidak terlihat oleh beliau. Walaupun kami ziarahi veteran PAS tersebut dengan tujuan lain, tetapi kami bersyukur kerana mendapat tazkirah yang baik dan menginsafkan.

Sekian.

Tiada ulasan: