NILAI – “Tidak boleh digambarkan kegembiraan apabila
ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM) sehingga ibu turut menitiskan air mata,” itu adalah perasaan yang
dikongsikan oleh siswa baharu USIM, Muhammad Ashnawi Azmi, 23 yang
mengidap penyakit Bronchiolitis Obliterance atau peparu tidak berfungsi.
Disebabkan penyakitnya itu, Ashnawi bergantung
sepenuhnya kepada alat pernafasan 24 jam selepas dikesan mengalami
penyakit ini sejak berumur dua tahun.
Beliau yang merupakan anak kedua dari tiga orang adik
beradik ditawarkan menyambung pengajian Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di
Fakulti Syariah dan Undang-undang.
Ashnawi pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di
peringkat Tamhidi (Asasi) USIM selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) tetapi tidak berjaya.
Ternyata rezeki dan doa ibu tercinta termakbul apabila
bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah, Serdang berjaya
mendaftar di peringkat Sarjana Muda di USIM hari ini.
“Saya perlu bergantung kepada penggunaan mesin ini
sepanjang masa kerana paru-paru di sebelah kanan sahaja berfungsi
manakala disebelah kiri tidak. Doktor menyarankan saya menggunakan mesin
oksigen portable (mudah alih) ini sejak kecil lagi.
“Dahulu lebih besar saiznya tetapi mesin yang baru
diterima pada 2016 ini lebih kecil dan ringan yang disumbangkan oleh
Lembaga Zakat Selangor berharga RM18,000 seunit. Di rumah ada sebuah
mesin sebegini tetapi saiznya lebih besar tetapi bukan portable, justeru
saya hanya gunakan semasa berada di rumah sahaja”
“Saya masih menerima rawatan secara berkala tiga bulan
sekali di Hospital Serdang. Saya anggap penyakit ini satu ujian daripada
Allah SWT dan pastinya ada hikmah tersendiri. Saya pernah beberapa kali
mengalami koma dan paling lama ialah selama 14 hari pada tahun lepas.
“Ia berlaku semasa saya tidur dirumah dan doktor
memaklumkan puncanya oksigen tidak sampai ke otak” kongsi beliau yang
memiliki Diploma Syariah daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor (KUIS).
Mengakui pergerakan dan aktivitinya agak terbatas sejak
dari kecil, tetapi ia juga menjadi satu motivasi kepada dirinya sendiri
untuk sentiasa membuat yang terbaik dalam batas kemampuan beliau.
Menyimpan azam yang tinggi untuk menamatkan pengajian
yang cemerlang di USIM nanti, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa
sebak apabila menzahirkan rasa terima kasih kepada ibunya, Haslinda
Hussin yang telah banyak berkorban untuk beliau selama ini.
USIM pada hari ini menerima pendaftaran pelajar baharu
Sarjana Muda Sesi Akademik 2019/2020 seramai 2,566 orang dengan 28 orang
daripadanya merupakan pelajar antarabangsa.
Para pelajar baharu akan mengikuti program taaruf (suai
kenal) yang diaturkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM mulai Rabu
hingga Sabtu ini. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan