Kerusi-kerusi kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat semalam
diambil alih oleh pelajar-pelajar yang berdebat di hadapan Speaker
Mohamad Ariff Md Yusof.
Berumur antara 16 hingga 25 tahun, mereka
adalah peserta Debaton Parlimen 2019 (Belia) yang berhujah usul
berkaitan masa depan pekerja prekariat dan mengenai cara terbaik untuk
melindungi pekerja bebas (freelance) dan kontrak yang semakin meningkat
dalam gig ekonomi.
Mengulas acara itu, Mohamad Ariff berkata beliau kagum dengan gaya debat dan hujah yang berisi daripada para pendebat.
"Taraf debat anda adalah seperti yang kita lihat di Dewan Rakyat yang sebenar, mungkin lebih baik.
"Ini
kerana tidak ada caci maki (penghinaan), walaupun beberapa kata tidak
sesuai digunakan. Ini boleh diperbaiki, " katanya di hadapan para
pendebat muda.
"Hari
ini anda telah membuktikan kebolehan anda untuk bercakap secara
ringkas, padat dan substansial tanpa membangkitkan apa-apa prasangka
atau perasaan tidak enak," katanya.
Mohamad Ariff berkata bahawa beliau percaya ia menandakan potensi belia di negara ini.
Memperkasa pekerja bebas
Terdahulu,
pelajar di barisan kerajaan mencadangkan pembaharuan undang-undang
untuk memberi pekerja bebas perlindungan yang sama seperti pekerja
sepenuh masa di bawah Akta Pekerjaan 1955.
Diketuai oleh Muhammad
Asyraf Mustafa Kamaruddin, Nur Atiah Zakaria dan Tan Chee Yong, mereka
berkata kerajaan mereka yang "bertanggungjawab dan peduli" bukan sahaja
menyediakan keselamatan sosial untuk pekerja, tetapi juga meningkatkan
kemahiran mereka.
Pelajar di barisan pembangkang yang penuh
bersemangat - diketuai oleh Nur Azmina Aini Azman, Dusha Nanthakumar dan
Joshua George Varughese - mempersoalkan jika langkah itu akan
menyebabkan wujudnya lebih banyak peraturan bagi pekerja bebas dan
dengan itu lebih banyak sekatan ke atas gig ekonomi yang fleksibel.
Mereka juga mempersoalkan sama ada adil untuk
pekerja bebas menerima manfaat yang sama diterima pekerja sepenuh masa
memandangkan tempoh bekerja yang tidak sama.
Justeru, barisan pembangkang mencadangkan undang-undang baru untuk menampung keperluan yang berbeza golongan pekerja bebas.
Seperti
dalam persidangan Dewan Rakyat sebenar, para pendebat meminta Mohamad
Ariff untuk mendapatkan kebenaran sekiranya ingin bercakap dalam bahasa
Inggeris.
Bagaimanapun, kerana terlalu kerap, speaker mempersoalkan kemahiran bahasa kebangsaan pendebat berkenaan.
Sesi
debat itu juga menyaksikan bidasan dan kecaman yang tidak pernah
didengar dalam perdebatan parlimen sebanar, dengan barisan kerajaan
menuduh pembangkang terlalu menumpukan pada teknikal sehingga gagal
menjadi konstruktif.
Sementara itu, pihak pembangkang menegaskan
bahawa hujah mereka menunjukkan mereka peduli terhadap rakyat dan
kerajaan tidak melihat gambaran besar dengan cadangan reformasi
undang-undang berkenaan.
Dua lagi perdebatan
Dari 46 pendebat, Dusha kemudiannya dianugerahkan sebagai pendebat terbaik melalui undian umum dalam talian.
Pelajar
jurusan psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berusia 22
tahun itu memperoleh 1,257 undi dan menerima langganan seumur hidup
laman Malaysiakini.
Peserta termuda malam itu ialah Muhammad Nazaruddin Mohd Salleh, 16 tahun.
Pelajar tingkatan empat dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu mewakili barisan kerajaan.
Acara
berkenaan dianjurkan oleh bahagian pengurusan acara, KiniEvents, dan
diadakan bersempena ulang tahun ke-20 Malaysiakini serta ulang tahun
ke-60 parlimen.
Rakan penganjur lain termasuk Kementerian
Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Tabung Pembangunan Sumber
Manusia, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Dua
acara Debaton Parlimen yang akan datang akan menyaksikan para pelajar
berhujah mengenai keselamatan siber dan data (5 Okt di Universiti Sains
Malaysia) dan memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak (19 Okt di
Universiti Malaysia Sabah).
Untuk maklumat lanjut mengenai acara
akan datang, sila lawati parliamentdebate.com. Pertanyaan melalui e-mel
boleh dihantar kepada enquiry@kini.events.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan