Semua pihak digesa agar tidak mencampuradukkan politik dalam
sebarang hal ehwal keagamaan dalam usaha untuk mengekalkan perpaduan
dalam kalangan rakyat berbilang latar belakang di negara ini, kata
Pengerusi Masjid Cina Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen.
"Pemimpin parti Bersatu, Umno dan PAS ada hadir hari ini tetapi semua tanggalkan baju politik mereka di luar masjid dan semua bersama dalam program ini sebagai umat Islam.
"Ini bukan program parti politik atau kerajaan negeri, ini program anjuran masjid. Saya tidak endahkan sebarang tekanan terhadap program ini kerana ini hak kita sebagai orang Islam tiada kena mengena dengan parti politik," katanya kepada pemberita selepas program itu di Krubong malam tadi.
Mohd Rafiq yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Ketua Menteri Adly Zahari telah dimaklumkan dan tiada halangan tentang kehadiran Zakir asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak polis.
Ditanya tentang kerjasama beliau dalam kerajaan negeri dengan pemimpin yang memberi tentangan terhadap program itu, beliau berharap tiada masalah kerjasama antara mereka dan dapat meneruskan kerja-kerja bersama sebagai exco kerajaan negeri.
Semalam, Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka membidas Mohd Rafiq kerana bertindak mengadakan program itu dan membawa Zakir ke negeri tersebut.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan