HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 September 2019

Indonesia haramkan seks di luar perkahwinan, jutaan berisiko dipenjarakan

MALAYSIAKINI

   
GLOBAL l Indonesia bakal meluluskan satu kanun jenayah baru yang menjadikan hubungan seks konsensual di luar perkahwinan satu kesalahan dan memperkenalkan hukuman berat kerana menghina maruah presiden - tindakan yang menurut kumpulan hak asasi sebagai serangan ke atas kebebasan asasi.

Indonesia adalah negara majoriti Islam terbesar di dunia dan mempunyai penganut Kristian, Hindu dan Budha sebagai golongan minoriti. Islam di negara itu akhir-akhir ini melihat trend atau kecenderungan menjadi lebih konservatif.

Kanun jenayah baru itu dijangka diguna pakai minggu depan selepas Parlimen dan kerajaan bersetuju dengan draf akhir semalam, kata empat ahli parlimen negara itu kepada Reuters.

Mereka memberitahus, kanun jenayah baru itu akan menggantikan undang-undang era pemerintahan Belanda.
I
“Negara perlu melindungi rakyat daripada tindakan yang bertentangan dengan ajaran Tuhan,” kata Nasir Djamil, seorang ahli politik Parti Keadilan Sejahtera.
Nasir Djamil
Katanya, pemimpin semua agama sudah dirujuk berhubung perubahan itu oleh kerana ideologi pengasasan Indonesia adalah berdasarkan kepercayaan kepada tuhan.

Mengikut undang-undang yang dicadangkan itu, pasangan belum berkahwin ‘yang hidup bersama sebagai suami dan isteri’ boleh dipenjara selama enam bulan atau berdepan denda maksimum 10 juta rupiah (RM2,971.02) atau bersamaan tiga bulan gaji untuk kebanyakan rakyat Indonesia.

Pendakwaan boleh diteruskan jika seorang ketua kampung yang mengetuai kedudukan terendah dalam kerajaan, memfailkan aduan dengan polis sementara ibu bapa atau kanak-kanak tertuduh tidak membantah. Ibu bapa, kanak-kanak dan pasangan juga boleh membuat aduan.

Pemberian kuasa kepada ketua kampung wajar kerana ‘mangsa penzinaan juga anggota masyarakat,’ kata seorang ahli parlimen lain, Teuku Taufiqulhadi.
Teuku Taufiqulhadi
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pembaharuan Keadilan Jenayah berkata, jutaan rakyat Indonesia akan terjejas dengan undang-undang baru itu disebabkan kajiannya menunjukkan 40 peratus golongan dewasa Indonesia terbabit dalam aktiviti seksual sebelum berkahwin.

Penjara maksimum setahun juga boleh dikenakan kepada individu yang melakukan hubungan seks dengan bukan pasangannya dan anggota rapat keluarga boleh membuat aduan. Undang-undang itu juga terpakai terhadap golongan homoseksual memandangkan perkahwinan sejenis tidak diiktiraf di Indonesia.

Undang-undang baru itu juga terpakai kepada rakyat asing. Bagaimanapun ditanya jika pelancong di Indonesia mungkin dipenjara kerana seks luar perkahwinan, Taufiqulhadi berkata: “Tiada masalah selagi tiada sesiapa mengetahuinya.”

Selain itu, hukuman penjara maksimum juga akan dilaksanakan bagi wanita yang melakukan pengguguran, jika tiada unsur kecemasan perubatan atau perbuatan rogol. Undang-undang itu juga memperuntukkan denda bagi mereka yang mempromosikan pencegahan kehamilan, dan tempoh penjara enam bulan untuk perbincangan tanpa izin mengenai "alat pengguguran".- Reuters

Tiada ulasan: