Ahli politik Malaysia perlu belajar daripada seorang MP
Parti Buruh yang menyuarakan isu ucapan kebencian serta dengan berani
mengecam Perdana Menteri UK Boris Johnson susulan kenyataan yang
memperlekehkan pemakaian purdah (burqa) oleh wanita Muslim, kata Anggota
Parlimen DAP Charles Santiago.
MP Tanmanjeet Singh Dhesi
di Parlimen UK pada Rabu lalu telah menuntut permintaan maaf daripada
Johnson berhubung suatu artikel yang ditulisnya di The Daily Telegraph tahun lalu.
Pada suatu ciapan di Twitter hari ini,
Charles yang juga MP Klang menyiarkan video Tanmanjeet menuntut
permohonan maaf daripada Johnson berhubung tulisannya itu.
Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, MP DAP berkata permainan sentimen kaum dan agama telah lama menguasai masyarakat Malaysia.
Charles menyifatkan hal ini tidak bertanggungjawab, berkata kerajaan mesti memberi amaran tegas kepada mereka yang terlibat membuat ucapan kebencian dan memecahbelahkan perpaduan negara.

"Tuan Speaker, jika saya membuat keputusan untuk memakai serban (Sikh), atau kamu memutuskan memakai salib, atau dia memutuskan untuk memakai kippah (Yahudi) atau kopiah, atau dia memutuskan untuk memakai tudung atau purdah, adakah itu bermakna ia membuka peluang kepada anggota dewan yang mulia ini untuk membuat kenyataan menghina dan memecah-belah mengenai penampilan kami.
"Bagi kami yang sejak dari zaman muda perlu melalui dan menghadapi gelaran seperti 'kepala bertuala' atau 'Taliban' atau datang dari 'tanah bongo-bongo', kami dapat merasai luka dan keperitan yang dialami oleh wanita Islam yang terdedah ketika mereka digambarkan sebagai 'perompak' dan 'kotak surat' itu...
"Jadi daripada bersembunyi di sebalik siasatan dan percubaan menutup hal ini, bilakah perdana menteri akhirnya mahu memohon maaf kerana ucapan menghina dan rasis itu...
"Tuan Yang Dipertua, kenyataan perkauman berkenaan telah meningkatkan jenayah kebencian dan menyumbang kepada peningkatan kejadian seperti itu di dalam partinya (Konservatif), bilakah perdana menteri akhirnya akan mengarahkan siasatan terhadap Islamofobia di dalam Parti Konservatif, sesuatu yang telah dijanjikan beliau dan Canselor UK pada siaran televisyen nasional," katanya.
Untuk rekod, The Guardian melaporkan kumpulan pemantau Tell Mama sebagai menyatakan bahawa artikel Johnson mengenai purdah itu telah menyebabkan peningkatan serangan anti-Islam.
Menurut Tell Mama, dalam seminggu selepas siaran artikel itu, kejadian anti-Islam meningkat sebanyak 375 peratus - daripada lapan kejadian pada minggu sebelumnya, kepada 38 kes pada minggu berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan