HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 September 2019

Jerebu: 17 sekolah sesi petang di Kulim ditutup

siti hafidah

 

Petani dinasihatkan tidak melakukan aktiviti pembakaran jerami padi

ALOR SETAR– Sebanyak 17 sekolah sesi pembelajaran petang di Kulim ditutup hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 205, dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, setakat 3 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said dalam kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan enam sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan 11 sekolah kebangsaan (SK).

“Sekolah sesi pagi telah selesai pada jam 2 petang tadi, jadi untuk hari ini hanya sekolah sesi petang yang ditutup. Bagi sesi persekolahan esok, pengumuman rasmi akan dibuat oleh JPN (Jabatan Pelajaran Negeri) pada jam 5 petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min berkata, pihaknya memantau serius situasi jerebu di negeri ini sebelum mengeluarkan sebarang arahan.

“Berikutan keadaan jerebu ini, saya harap golongan petani tidak melakukan pembakaran jerami padi. Kami faham masa ini adalah musim menuai dan aktiviti pembakaran jerami dilakukan sebelum proses menanam padi semula tetapi kita harap mereka gunakan kaedah alternatif lain.

“Baru-baru ini, arahan Larangan Pembakaran Terbuka juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Walaupun pembakaran jerami padi dikategorikan sebagai bukan pembakaran terbuka tetapi ia tidak dibenarkan dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut meminta semua pihak untuk menjaga kawasan masing-masing dengan tidak melakukan pembakaran terbuka kerana bagi kesalahan membakar sekam padi, petani boleh dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 dan jika dihadapkan ke mahkamah boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara.

Selain Kulim, Sungai Petani turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 133 setakat 3 petang tadi, sementara Alor Setar dan Langkawi masing-masing mencatatkan bacaan sederhana iaitu 75 dan 66. – Bernama


Tiada ulasan: