HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 September 2019

PM tak bantah syarikat luar jadi pemilik MAS

MALAYSIAKINI

   

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menentang pemilikan luar dalam Malaysia Airlines Bhd (MAS) jika ia menggunakan model yang serupa seperti perkongsian Proton-Geely.

"Ada idea bahawa syarikat luar negara mungkin mengambil bahagian besar (pegangan) MAS. Tetapi itu (hanya) idea (dan) kita tak menentangnya," katanya dalam wawancara bersama stesen radio BFM pagi ini di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur.

Beliau menjawab soalan berkenaan sama ada kerajaan akan menimbang urus niaga sama seperti penjualan 49 peratus saham Proton kepada syarikat China, Geely Automobile Holdings Ltd, untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi MAS.

Mahathir bagaimanapun berkata ada sesetengah pihak yang mungkin tidak setuju dengan perkara itu atas dasar "sentimental".

"Mereka mahu lihat MAS dimiliki sepenuhnya oleh pihak Malaysia tetapi tiada pelabur dalam negara yang cukup kuat (untuk berbuat demikian)," katanya lagi.

Syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional Bhd telah menyuntik tambahan RM300 juta dalam MAS pada Ogos lalu, selepas RM500 juta yang diberikan pada Mac lalu.

Ia dilaporkan sebagai sebahagian daripada dana RM6 bilion yang diluluskan bawah Pelan Pemulihan MAS yang diumumkan pada 2014.

Pada 2017, Mahathir pernah mengkritik penjualan 49 pegangan DRB-Hicom dalam Proton kepada Geely.

Ketika itu beliau mempersoalkan sama ada ia adalah permulaan kepada banyak lagi aset negara termasu tanah.

Bagaimanapun Mahathir pernah dilaporkan terbuka dengan idea pemilikan luar dalam Proton pada 2014.

Dalam hal berbeza, Mahathir hari ini berkata beliau tidak akan membuat rombakan kabinet.
"Menteri baru tak semestinya lebih baik. Saya tak mahu menyelesaikan masalah dengan menukar orang," katanya lagi.

Katanya lagi, rombakan kabinet berisiko mencetuskan lebih banyak masalah berbanding menyelesaikannya.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata tidak akan membuat rombakan kabinet tetapi mungkin menukar portfolio beberapa menteri.


Tiada ulasan: