HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 September 2019

Wadah bidas bekas hakim, Islam di M’sia berasas pegangan Sunnah

MALAYSIAKINI

   
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Selangor membidas kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus atas dakwaannya bahawa perlembagaan tidak tetapkan Islam itu Sunni atau Syiah.

Pengerusinya, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail merasakan kenyataan hakim tersebut dibuat tanpa tanggungjawab ilmiah dan fakta sebetulnya.

Memetik sidang Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 5 Mei 1996, katanya badan itu telah membuat enam ketetapan.

“Umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri bagi peruntukan dengan nyata bahawa agama bagi persekutuan dan negeri-negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Hukum Syarak atau Undang-Undang Islam bererti undang-undang Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan akhlak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kata Nik Mohd Yusoff, ketetapan lain adalah ajaran Islam yang selain daripada Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah adalah dilarang.

Ia juga menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam hukum syarak yang berasaskan pegangan ajaran Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah sahaja.

Sehubungan itu, penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah adalah diharamkan.

Terdahulu bekas hakim tersebut berkata adalah salah bagi pihak berkuasa agama menahan dan menyerbu pengikut Syiah kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak menyatakan mazhab Islam mana adalah agama yang rasmi.

Hishamudin membuat kenyataan berkenaan serbuan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sambutan majlis Asyura di Gombak pada 6 September lalu yang menyaksikan 23 orang ditangkap.

Aliran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain.

Bagaimanapun, di Malaysia, majoriti penganut Islam adalah mengikuti fahaman Sunnah wal-jamaah atau Sunni dan aliran Syiah dianggap menyimpang terutama mengenai rujukan serta beberapa tokoh awal sejarah Islam.

Tiada ulasan: