HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 September 2019

Shamsul beri peringatan jangan lagakan Dr M dan Anwar

MALAYSIAKINI

   

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin sekali lagi membidas pihak yang disifatkannya sebagai sengaja melagakan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung peralihan jawatan perdana menteri.

Shamsul menyifatkan pihak berkenaan mempunyai motif tertentu.

"Ia sengaja diulang-ulang dengan niat untuk mencari sesuatu berita yang boleh disensasikan di samping cuba untuk melaga-lagakan hubungan baik antara Mahathir dan Anwar," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Shamsul yang juga merupakan ahli parlimen Hang Tuah Jaya, PKR berkali-kali mengingatkan pihak berkenaan bahawa semua pihak dalam gabungan pemerintah telah pun faham dan akur tentang isu peralihan jawatan perdana menteri.

"Bahkan, Mahathir juga telah berkali-kali mengulangi komitmen beliau untuk mengotakan janjinya namun ketika ini perdana menteri berserta barisan ahli kabinet beliau sedang bertungkus lumus untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

"Justeru itu, semua pihak dimohon untuk memberikan ruang masa kepada Tun Mahathir untuk merealisasikan janji memulihkan ekonomi sekaligus menyelamatkan negara dari musnah akibat dari masalah-masalah meruncing yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

"Sesungguhnya PKR percaya kesejahteraan rakyat Malaysia adalah menjadi keutamaan kedua-dua negarawan ini dan proses peralihan jawatan akan berlaku sepertimana yang telah Mahathir janjikan dalam suasana yang penuh tertib, permuafakatan dan kemesraan.

"Maka oleh kerana itu, tidak perlulah pihak-pihak yang bagaikan api dalam sekam ini berterusan mencuba secara halus mecetuskan api permusuhan sebaliknya adalah lebih elok untuk mereka menumpukan kepada perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Shamsul berkata PKR berjanji akan tetap berdiri teguh di belakang kedua-dua pemimpin itu dan berikrar akan terus berada di barisan hadapan bagi mempertahankan PH daripada pihak yang cuba untuk merosakkan keharmonian yang telah sedia terjalin.

Kenyataan Shamsul itu mengulangi gesaan yang dibuatnya pada Jun lalu apabila menyifatkan bahawa terlalu banyak laporan media berhubung peralihan kuasa perdana menteri.


Tiada ulasan: