Meski pun nyaris terkeluar dari kumpulan 15 penerima calon
terbanyak dalam pemilihan semalam, Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud
tetap berazam memberikan sumbangan kepada Amanah Puchong.
Memuat naik hantaran di Facebook, Siti Mariah berkata beliau berasa lega apabila tidak terpilih menjadi ketua Amanah bagi kawasan berkenaan, sebaliknya sekadar diberi peluang membina Amanah Puchong.
"Dalam pemikiran saya (adalah) bagaimana hendak menyumbang untuk memperkukuhkan Amanah.
"Saya akan duduk dalam jawatankuasa baru untuk bantu ketua dan ahli jawatankuasa yang terpilih melaksanakan kewajipan mereka.
"Saya anggap diri saya sebagai kakak (dan ibu) kepada mereka dan mempunyai pengalaman yang lebih dalam parti dari peringkat atas hingga ke peringkat bawah. Semoga pengalaman saya akan dimanafaatkan," tulis beliau dari Gloucester, England pagi ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang nyaris tersingkir daripada menjadi ahli jawatankuasa Amanah Puchong apabila memperoleh 52 undi dan berada di kedudukan ke-12.
Mahu orang tempatan
Menurut sumber, calon-calon yang bertanding tampil dengan dua kumpulan utama, namun pada menjelang pemilihan penyokong Siti Mariah berpecah dua.
"Secara umum kelihatan macam ada tiga set calon yang bertanding," katanya kepada Malaysiakini.
Bekas Ketua Pemuda Amanah Selangor yang juga calon ketua Pemuda Amanah Nasional, Abbas Azmi, pula gagal mendapat undi mencukupi bagi menempatkan dirinya dalam kumpulan 15 pemimpin kawasan Puchong.
Sementara
itu Siti Mariah berkata, keputusan pemilihan semalam pasti akan
mendapat kritikan dan penghinaan pihak tertentu kerana beliau akan
dituduh tyidak diterima oleh anggota Amanah Puchong.
Bagaimanapun kata Mariah, beliau sudah menyedari perkara itu dari awal lagi dan mengakui kemasukkannya di Puchong ditentang habis-habisan.
"Sebenarnya dari awal saya menjadi Adun di Dun Seri Serdang ini, saya sudah tahu ahli Puchong mahukan orang tempatan. Menjadi pengetahuan umum kemasukan saya di Puchong sebagai calon Adun pun ditentang habis habisan oleh sebahagian besar ahli Puchong," katanya.

Katanya, ketika ada pihak mahu beliau menerima pencalonan kerana kedudukannya sebagai Adun dan exco boleh membantu Amanah kawasan berkenaan, penolakan pula akan mendedahkannya kepada tohmahan enggan menyumbang kepada parti.
"Mudah cerita, kalau boleh saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan parti di peringkat kawasan, tapi tidak boleh menolak pencalonan.
"Kalau menolak pun akan ditohmah juga tidak mahu menyumbang," katanya.
Mariah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada segelintir ahli parti itu yang mahukan beliau menjadi ketua meskipun tidak terpilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan