PM India hanya sebut sekali saja mengenai Zakir Naik: Tun M
KYOTO
(Jepun) -
Kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan tiada lagi lantikan
baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen, bagi
memastikan ia tidak merugikan penjawat awam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana
Menteri berkata, tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia
masih belum dibincangkan di peringkat kabinet.
Beliau
bagaimanapun menarik perhatian tentang hakikat bahawa bayaran pencen ketika ini
sudah menjadi begitu besar.
“Sekarang
ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah
meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita (kerajaan)
mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah,” katanya kepada pemberita
ketika sidang media di akhir lawatan kerja beliau di sini, hari ini.
Baru-baru
ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan
berkata, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di
bawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan
kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.
Borhan
berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan
perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan
secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen
yang kini mencecah RM28 bilion.
Merujuk kepada angka RM28 bilion itu, Dr Mahathir menjangkakan nilai bebanan pencen itu akan terus meningkat.
“Kita
nak cari jalan supaya kerajaan mampu (bayar dan pegawai (penjawat awam) tidak
rugi,” katanya.
Mengenai
penulisan di blog beliau mengenai orang Melayu malas bekerja, Perdana Menteri
berkata, penulisan berkenaan ditujukan kepada golongan yang malas.
“Yang
sanggup bekerja ada, saya tidak kata kepada orang yang sanggup (bekerja
keras),” katanya.
Bagaimanapun,
Dr Mahathir mahu rakyat Malaysia melihat kepada semangat bekerja orang Jepun
yang sanggup melakukan semua pekerjaan dan tidak menggunakan tenaga kerja asing
yang ramai, sekaligus mengurangkan pengaliran keluar wang yang dihantar pulang
pekerja asing.
“Di
Jepun mereka sendiri sapu jalan dan mereka jaga kebersihan negara mereka.
Mereka tidak kerahkan tenaga kerja asing dan sebab itu mereka maju dan kaya,”
katanya.
Dalam
perkembangan lain, Dr Mahathir menegaskan bahawa tiada permintaan ekstradisi
penceramah bebas Dr Zakir Naik diutarakan oleh Perdana Menteri India, Narendra
Modi, ketika pertemuan beliau dengan pemimpin negara Asia Selatan itu.
“Dia
menyebut nama (Zakir) sahaja tapi tak ulas. Dia cakap sekali je tentang Zakir
Naik,” katanya.
Sebaliknya,
katanya, tumpuan Modi sepanjang perjumpaan itu adalah untuk menerangkan
berkenaan situasi di Jammu-Kashmir.
Perdana
Menteri dan Modi mengadakan pertemuan dua hala ketika menghadiri Forum Ekonomi
Timur (EEF) Ke-5 di Vladivostok, Rusia baru-baru ini.
Sebelum
ini, media India melaporkan bahawa Modi meminta Dr Mahathir mengambil langkah
untuk mengekstradisi pendakwah kelahiran India itu yang dikehendaki New Delhi
atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.
Dr
Mahathir menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Kyoto hari ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan