Jabatan Peguam Negara (AGC) dan dua yang lain mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada cubaan kedua, Najib Razak dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah untuk menyingkirkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa berhubung kes jenayah kedua-dua mereka adalah penyalahgunaan proses undang-undang dan oleh itu "ditakdirkan akan gagal".
Ini adalah antara lima soalan undang-undang yang AGC, bekas hakim mahkamah persekutuan Sri Ram dan kerajaan berhasrat untuk dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan pada 15 Oktober dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu semakan kehakiman Najib dan Shafee untuk membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai TPP.
Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyingkirkan Sri Ram sebagai TPP.
Bagaimanapun, pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan berasingan oleh Najib dan Shafee untuk diberi kebenaran bagi meneruskan permohonan semakan kehakiman mereka untuk mencabar kesahihan pelantikan Sri Ram sebagai TPP.
Iklan

Notis rayuan, di mana lima soalan undang-undang dilampirkan, dan afidavit-sokongan oleh TPP Ahmad Akram Gharib telah difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 18 September lalu.
Mengikut salinan yang disediakan kepada Malaysiakini hari ini, antara lima soalan undang-undang itu adalah sama ada Najib dan Shafee dibenarkan memfailkan permohonan kedua di mahkamah sivil selepas permohonan yang sama di peringkat mahkamah jenayah telah ditolak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan